Andai usaha pujuk Sultan Selangor gagal, PKR kemuka nama calon lain – Shamsul Iskandar
(Suara TV) – PKR membayangkan bahawa parti itu akan mengemukakan nama calon selain Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Menurut Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin, kemungkinan itu akan dibincangkan sekiranya rundingan dengan pihak Istana gagal.
“Mungkin ada. Pasti akan ada cadangan penyelesaian berkenaan isu ini nanti.
“Setakat ini memang tiada lagi perbincangan khusus mengenai calon baru oleh pimpinan tertinggi (PKR), tetapi kita tidak menolak kemungkinan akan ada perbincangan susulan jika rundingan dengan Istana menemui jalan buntu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Shamsul dan seorang lagi Naib Presiden, Tian Chua, adalah wakil pemimpin tertinggi PKR yang hadir pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pengkalan Kubor yang berlangsung di Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat, di sini, pagi tadi.
Shamsul berkata, Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga sudah menghantar surat penjelasan kepada Istana Selangor berkenaan sebab mereka hanya menghantar satu nama untuk diperkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Menteri Besar baharu.
“Setakat ini kita lebih kepada usaha memujuk baginda Tuanku. Kita juga berharap dapat mengadap Tuanku, berbincang secara jelas pendirian dan keputusan parti mengambil langkah sedemikian,” katanya.
Mengenai PRK DUN Pengkalan Kubor, Shamsul berkata PKR setuju memberi laluan kepada PAS meletakkan calonnya selepas melihat peluang parti itu untuk menang adalah lebih cerah.
Beliau juga menafikan dakwaan bahawa ketidakhadiran pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat terutama DAP bukan kerana mereka tidak merestui calon PAS sebaliknya kerana bilangan pengundi Cina tidak ramai.
“Saya tidak fikir ketiadaan pemimpin tertinggi termasuk Presiden dan Timbalan Presiden PKR serta DAP menunjukkan calon PAS tidak mendapat restu,” katanya.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad pula menjelaskan tidak timbul soal PKR boikot calon PAS kerana keputusan itu dipersetujui oleh Wan Azizah sendiri.
Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yakin peluang PAS untuk menang pada PRK DUN Pengkalan Kubor adalah cerah selepas mengambil kira Parlimen Tumpat yang sudah ditakluki PAS sejak beberapa penggal lalu.
Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa pula berkata tindakan PKR memberi laluan kepada PAS bertanding di kawasan itu adalah bukti perpaduan di kalangan pakatan pembangkang masih utuh dan tidak berpecah seperti digembar-gemburkan.