NGO kritik permohonan maaf Anwar dan Guan Eng
“Saya nampak, permohonan maaf Guan Eng tidak ikhlas dan seolah-olah sengaja melakukan provokasi terhadap Sultan Selangor.”
Adam Abu Bakar, Free Malaysia Today
Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Ismail Mina Ahmad mengkritik kenyataan maaf Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng kepada Sultan Selangor.
Menurutnya, permohonan maaf yang dibuat oleh Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga merupakan satu permohonan maaf yang tidak ikhlas dan hanyalah satu kenyataan demi kepentingan politik sahaja.
“Saya nampak, permohonan maaf Guan Eng tidak ikhlas dan seolah-olah sengaja melakukan provokasi terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan hanya menghantar satu sahaja nama calon sebagai Menteri Besar Selangor bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim,” ujarnya sewaktu dihubungi oleh FMT.
Jelasnya lagi, jika diikutkan dalam sejarah, bangsa Cina adalah satu bangsa yang sangat menghormati pemerintah dan jika dikaji sejarah sewaktu zaman dinasti di China, mereka amat menghormati maharaja mereka.
“Sebaliknya berlaku kepada Guan Eng. Adakah beliau tidak mempelajari sejarah bangsanya sendiri dan adakah Guan Eng jadi begini setelah ikut Anwar Ibrahim,” katanya lagi.
Selain itu, Ismail turut kesal dengan permohonan maaf bersyarat yang dibuat oleh Anwar kepada pihak istana.
“Setelah mendapat tahu bahawa Sultan Selangor murka, beliau sepatutnya segera meminta maaf dan bukannya menunggu sehingga Guan Eng minta maaf,” katanya.
Tindakan Anwar itu menunjukkan bahawa beliau mempunyai sikap yang kurang baik dan kurang tertib kepada pihak istana.