PKR turut pohon ampun dari Sultan Selangor


anwar_selangor

(The Malaysian Insider) – PKR turut memohon keampunan Sultan Sharafuddin Idris Shah kerana membuat baginda dukacita atas tindakan hanya menamakan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar Selangor bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata partinya dan Pakatan Rakyat (PR) menghormati prinsip keluhuran perlembagaan serta menjunjung sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

“Pihak kami akan terus merafak sembah dan memohon keampunan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan seandainya keputusan kami mematuhi Undang-undang Tubuh Negeri Selangor dan amalan (convention) sejak 1957 menyebabkan terguris perasaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan,” kata ahli Parlimen Permatang Pauh itu dalam satu kenyataan hari ini.

wal hari ini Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng memohon keampunan daripada Sultan Sharafuddin kerana hanya menamakan Dr Wan Azizah sebagai calon menteri besar walaupun Istana Selangor meminta setiap parti Pakatan Rakyat (PR) PKR, PAS dan DAP untuk menghantar lebih daripada dua nama.

Kedua-dua PKR dan DAP hanya menamakan Dr Wan Azizah sementara PAS menghantar nama dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR dan seorang Adun PAS untuk dipertimbangkan Sultan Selangor.

Menurut Anwar, kenyataan Datuk Seri Najib Razak semalam pada Ahad yang mengatakan PKR gagal memahami Undang-undang Tubuh Negeri Selangor adalah keterlaluan.

“Najib sudah bersama dengan pimpinan Umno sejak 1983 dan 1993 tatkala menyokong pindaan Perlembagaan bagi menjelaskan bidang kuasa Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong selaras dengan prinsip raja berperlembagaan.

“Selaku perdana menteri, Najib sewajarnya jujur dengan pendirian parti beliau dan kerajaan Barisan Nasional dan tidak menyerang PKR kerana mematuhi amalan yang sama,” katanya.

(READ MORE HERE)

***************************************************

KENYATAAN MEDIA

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dan Pakatan Rakyat tegak atas prinsip keluhuran perlembagaan serta menjunjung sistem raja berpelembagaan dan demokrasi berparlimen. Ini jelas dalam perlembagaan KEADILAN dan kenyataan muafakat bersama pimpinan Pakatan Rakyat.

Dato’ Seri Najib telah bersama dengan pimpinan UMNO sejak 1983 dan 1993 takkala menyokong pindaan perlembagaan bagi menjelaskan bidang kuasa Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Agong selaras dengan prinsip raja berperlembagaan.

Kenyataan Dato’ Seri Najib semalam adalah keterlaluan kerana menafikan pendirian KEADILAN yang tuntas menjunjung kedaulatan undang-undang dan sistem raja berperlembagaan.

Dato’ Seri Najib juga sedia maklum  bahawa dalam sejarah pemerintahan UMNO sejak negara merdeka 1957, UMNO dan Perikatan, dan kini Barisan Nasional hanya mengemukakan satu nama Ahli Dewan Negeri atau Ahli Parlimen untuk jawatan Ketua Menteri, Menteri Besar, atau Perdana Menteri.

Selaku Perdana Menteri, Dato Seri Najib sewajarnya jujur dengan pendirian parti beliau dan Kerajaan Barisan Nasional dan tidak menyerang KEADILAN kerana mematuhi amalan yang sama.

Merujuk kepada kenyataan media istana Selangor yang ditandatangani oleh Setiausaha Sulit Kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan semalam, pihak kami akan terus merafak sembah dan memohon keampunan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan seandainya keputusan kami mematuhi Undang-undang Tubuh Negeri Selangor dan amalan (“convention”) sejak 1957 menyebabkan terguris perasaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan.

KEADILAN mengulangi pendirian untuk menjunjung kedaulatan Raja-raja Melayu, dan institusi raja berperlembagaan. Ini juga telah ditegaskan dalam warkah-warkah Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden KEADILAN kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor.

Anwar Ibrahim
Ketua Umum KEADILAN



Comments
Loading...