Khairy dakwa PPS ambil alih tugas polis
(KL Post) – Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin berkata, beliau bersetuju dengan tindakan polis yang menahan anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang kerana menurutnya ia merupakan pasukan yang merbahaya.
Katanya, ini kerana pasukan tersebut merupakan pasukan berstruktur serta mempunyai uniform yang melakukan tugas-tugas keselamatan untuk kerajaan negeri Pulau Pinang.
Malah, katanya, pasukan itu juga dilihat telah mengambil alih tugas polis dalam mengawal keselamatan.
“Ini bahaya, saya tengok ada gambar Ketua Menteri Pulau Pinang dengan vest unggu, ada pangkat. Tapi tak berdaftar. Ianya bahaya.
“Macam Unit Amal PAS, tak ambil tindakan sebab Unit Amal ini di bawah parti PAS walaupun semasa pilihan raya kecil dia menjaga keselamatan. Kita tak ambil tindakan.
“Dia (PPS) dah ambil alih tugas polis,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas menghadiri senamrobik anjuran radio Era di Kuala Lumpur pagi ini.
Semalam polis menahan kira-kira 154 anggota PPS selepas mereka mengambil bahagian dalam perarakan sambutan hari kemerdekaan di Esplanade di Pulau Pinang.
Selain anggotanya, polis turut menahan Pengerusi PPS, Phee Boon Poh, yang juga exco kerajaan negeri. Selain itu, Khairy berkata lagi, tidak menjadi sebarang masalah kepada mana-mana pasukan untuk mengawal keselamatan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, menjadi keutamaan bagi pasukan tersebut untuk mendaftar di Pendaftar Pertubuhan (ROS) bagi memudahkan segala urusan.
Malah, Khairy turut memberikan contoh dengan mempersoalkan bagaimana pendakwaan hendak dibuat sekiranya terdapat pasukan PPS yang tersalah tangkap individu yang tidak bersalah ketika melakukan pengawalan.
“Macam mana nak bertindak (terhadap PPS) sebab pertubuhan ini bukan sah,” katanya lagi, lapor Malaysiakini.