Nak demo lagi ke?…cukup-cukuplah!
Aspan Alias
Shamsul Iskandar Mat Akin berkata Kongress PKR tahun ini merupakan Kongress terakhir bagi Anwar sebelum dipenjarakan yang berkaitan dengan tuduhan meliwat pembantu peribadinya. Mahkamah Persekutuan akan bersidang untuk menghakimi rayuannya terhadap ‘conviction’ 5 tahun penjara oleh Mahkamah Rayuan Mac lepas.
Shamsul berkata yang rakyat akan bangun menentang penghakiman itu dan beliau meminta hakim benar-benar adil dalam membuat penghakiman itu. Bagi beliau jika Anwar masih didapati bersalah, maka itu merupakan penghakiman yang tidak adil. Jika Anwar dilepaskan itu penghakiman yang adil. Jika boleh saya cadangkan jika ada caranya, biarlah Anwar sendiri menghakimkan rayuan beliau sendiri. Ia sudah pasti adil dipandangan Shamsul.
Shamsul membayangkan jika penghakiman itu mengesahkan Anwar ke penjara, rakyat akan marah dan gerakan reformasi akan berulang. Itu sahajalah perjuangan PKR, untuk menyelesaikan masalah Anwar Ibrahim semata-mata. Selain dari Mahkamah Persekutuan tidak kita ketahui siapa dan apakah badan yang boleh dianggap oleh Shamsul adil untuk membicarakan Anwar ini.
Kalau semua keputusan mahkamah tidak betul, elok kita bertanya keputusan siapa yang betul? Walaupun Shamsul menafikan beliau menekan badan kehakiman, tetapi kenyataan beliau jelas itu adalah satu penekanan. Tidak siapa yang boleh memberikan ‘alternative’ kepada Mahkamah untuk mendapatkan penyelesaian undang-undang.
Tetapi apa pun, tekanan seperti itu tidak mungkin membangkitkan gerakan reformasi seperti dahulu.kerana rakyat tidak lagi berselera untuk memperjuangkan peribadi seseorang sehinggakan meletuskan kekacauan di kalangan rakyat kerana rakyat sekarang mahukan penyelesaian kepada kemelut negara, bukan penyelesaian untuk peribadi seseorang.
Semua tindakan kita itu ada hadnya kerana dengan membangkitkan gerakan reformasi itu melibatkan ramai manusia dan ia bukan lagi gerakan yang direstui oleh ramai. Rakyat mahukan keamanan dan sudah tidak mahu lagi terlibat dengan demonstrasi yang tidak akan memberikan apa-apa kebaikan, baik kepada individu, rakyat mahu pun negara. “Enough is enough” kata seorang penyokong PKR yang telah pernah terlibat dalam siri demonstrasi semasa gerakan reformasi dahulu.
Rakyat mahu memberikan fokus untuk perubahan dan transformasi dan tidak mahu lagi memikul beban dan menjinjing masalah peribadi. Rakyat mahukan perundingan secara politik dalam keadaan yang baik kerana melalui perarakan dan demonstrasi hanya memberikan padah kepada negara.