Khalid Ibrahim hanya perlu jawab satu dari lima


khalid-samad

Menurutnya, jika Khalid dapat menjawab persoalan itu dengan jawapan yang boleh diterima, munasabah, dan bukti yang lengkap sebelum 13 Ogos ini, pastinya tuduhan yang dikenakan terhadapnya akan ditarik semula.

Adam Abu Bakar, Free Malaysia Today

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mendesak supaya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjawab hanya satu sahaja daripada persoalan-persoalan yang dikemukakan oleh Lembaga Disiplin PKR.

Menurutnya, jika Khalid dapat menjawab persoalan itu dengan penjelasan yang boleh diterima, munasabah dan disertakan dengan bukti yang lengkap sebelum 13 Ogos ini, pastinya tuduhan yang dikenakan terhadapnya akan ditarik semula.

“Jika Khalid dapat memberi jawapan berkenaan hutangnya dengan Bank Islam, isu Tropicana dan juga Ecoworld dengan baik, pastinya Majlis Syura turut menyokongnya,” ujar beliau sewaktu sidang media di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Shah Alam.

Ianya termasuk adakah benar bahawa baki hutang Khalid dengan Bank Islam yang bernilai hampir RM70 juta pada tahun 2006 dilupuskan setelah sebahagian yang lain dibayar melalui penjualan saham yang dicagarkan oleh beliau kepada Bank Islam?

“Selain itu, adakah benar Khalid tidak membayar dan enggan bayar hutang tersebut sehingga dibawa ke Mahkamah?

“Juga, adakah Khalid pernah berhujah bahawa beliau tidak perlu untuk membayar hutangnya kerana Bank Islam telah melanggar perjanjian yang menurutnya tidak Islamic,” soal Khalid Samad.

Bahkan, Khalid Samad turut mempersoalkan adakah benar terdapat ‘penyelesaian luar mahkamah’ yang dicapai antara Khalid dan Bank Islam, pada Februari 2014, itu pun selepas Khalid hampir-hampir kalah?

Bukan itu sahaja, Khalid Samad turut berharap Menteri Besar Selangor itu mendedahkan butiran penyelesaian luar mahkamah yang telah dicapai dan rahsia untuk melenyapkan hutang RM66.67 juta.

“Saya juga berminat untuk mengetahui bagaimana Tan Sri menghilangkan hutang hampir RM70 juta itu,” ujarnya.

Dalam pada masa itu, Khalid juga diminta untuk menjawab bahawa adakah benar penyelesaian luar mahkamah ini telah dirunding dengan bantuan dari Tan Sri Rashid Manaf dan juga adakah ianya benar bahawa Khalid Ibrahim berkata Bank Islam telah tarik balik saman atas sebab Khalid Ibrahim akan saman Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan beliau yakin akan menang saman bernilai RM300 juta itu.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...