Setuju tukang masak tempatan


nazri hishamuddin guan eng

(Sinar Harian) – Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyokong cadangan Kerajaan Pulau Pinang menguatkuasakan larangan menggunakan pekerja asing sebagai tukang masak utama dalam perniagaan gerai makan bagi melindungi warisan makanan.

Beliau berkata cadangan itu disambut baik Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk mengekalkan keunikan dan keaslian makanan tempatan sebagai tarikan pelancong tempatan atau luar negara.

“Ramai pelancong datang ke Pulau Pinang khususnya untuk menikmati makanan tempatan di gerai-gerai penjaja kerana keaslian rasa tempatan. Kita tidak boleh mengharapkan keaslian itu, jika ia sediakan seorang tukang masak asing.

“Bagaimanakah, mahu menikmati makanan Pulau Pinang, jika tukang masak warga asing memasak makanan tempatan. Saya  sendiri datang ke Pulau Pinang untuk mencari nasi kandar, penang asam laksa, keow teow basah yang mempunyai rasa yang asli  tersendiri yang mana hanya boleh dihasilkan dengan ‘air tangan’ tukang masak tempatan sahaja,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyerahan Kerusi Unik di Tapak  Warisan  Georgetown, sempena pelancaran Festival Georgetown, semalam.

Hadir sama, Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Beliau berkata tukang masak tempatan perlu berasa bangga dengan kemahiran tersendiri yang ada pada mereka.

“Oleh itu, saya minta ramai anak muda dan remaja perlu mengambil peluang menceburi bidang masakan makanan tempatan dengan standard yang sedia dengan rasa yang asli yang mana dapat mengekalkan warisan, pada masa akan datang,” katanya.

Sebelum ini, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) melakukan penyelidikan terdapat lebih 119 pekerja asing bekerja sebagai tukang masak di 68 pusat penjaja makanan di negeri ini.

Susulan itu,  Guan Eng berkata, Pulau Pinang terkenal dengan makanan penjaja dan semua makanannya perlu mempunyai rasa tempatan manakala tukang masak asing dengan rasa masakan negara masing-masing.

“Ia tidak menepati tujuan meluluskan lesen penjaja kepada penduduk tempatan jika penjaja mengupah pekerja asing sebagai tukang masak utama mereka,” katanya.

Beliau  juga mengingatkan penjaja untuk mengupah pekerja asing hanya sebagai pembantu dan pelayan dan bukan sebagai tukang masak utama.

“Kami akan mengambil kira keperluan orang ramai sebelum melaksanakan larangan itu, “ katanya.

Lebih 68 pusat penjaja makanan diperiksa dalam penyelidikan itu, dengan majoriti gerai penjaja dikendalikan oleh pekerja asing di Bayan Baru, Relau, Jelutong dan Tanjung Tokong.

Untuk itu, kerajaan negeri mengambil inisiatif mengumpul pandangan orang awam mengenai isu tukang masak warga asing menyediakan makanan tempatan melalui soal selidik sehingga 31 Ogos ini.

Seramai, 50 pegawai MPPP  ditugaskan mengumpul pandangan di lokasi strategik yang menjadi tumpuan pelancongan tempatan dan luar.



Comments
Loading...