PKR sebulat suara calonkan Wan Azizah
PKR percaya bahawa Wan Azizah akan dapat membina kestabilan dalam politik Selangor apabila beliau menjadi Menteri Besar kelak meskipun pencalonan tersebut tidak mendapat restu PAS.
(Free Malaysia Today) – Parti Keadilan Rakyat (PKR) awal pagi tadi dengan sebulat suara mencalonkan Presidennya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baru bagi menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim.
“Keputusan untuk mencalonkan hanya satu nama dari PKR ini adalah bertujuan untuk menyelesaikan masalah yang sedang melanda Selangor dan juga untuk membina kestabilan politik di Selangor,” kata Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berucap dalam sidang media setelah selesai mesyuarat Pimpinan PKR awal pagi tadi di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya. Menurut Anwar, pencalonan Wan Azizah akan dibentangkan secara rasmi dalam mesyuarat Pakatan Rakyat (PR) yang akan diadakan Rabu ini.
Tambahnya lagi, PKR menghargai sumbangan Khalid Ibrahim selama ini, namun sudah tiba masa untuk perubahan dilakukan terutamanya yang bersangkut dengan pembaikan dalam masalah pentadbiran negeri Selangor yang menurutnya menimbulkan kegelisahan kepada rakyat seperti masalah air, KIDEX dan lain-lain lagi.