Dun penentu nasib Abdul Khalid


SHAH ALAM / ABDUL KHALID IBRAHIM

Sinar Harian

Kemelut pertukaran Menteri Besar (MB) di Selangor semakin rumit dan menimbulkan krisis besar politik dalam negeri ini.

Berbagai desakan dan pihak terutamanya dalam kalangan ahli PR mahukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meletakkan jawatan berikutan kepimpinannya semakin dipersoalkan dalam rakan partinya sendiri.

Namun begitu, desakan itu bukanlah sesuatu yang mudah kerana masih banyak faktor perlu diambil kira sebelum mendesaknya meletak jawatan. Salah satu proses tersebut adalah menerusi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 yang memungkinkan beliau meletak jawatan atau mengheret pihak istana dalam kemelut ini.

Bagi mengupas isu tersebut, wartawan Sinar Harian, Syairi Shaari mendapatkan penjelasan daripada pakar undang-undang dan perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari menyentuh undang-undang tubuh dalam pelantikan menteri baru dan krisis politik di Selangor.

Boleh Dr jelaskan sejauh mana peranan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 dalam pelantikan MB?

DR ABDUL AZIZ : Semua Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri di bawah negara Komanwel adalah sama dari segi pelantikannya dan cuma nombor dalam undang-undang tubuh itu yang berbeza. Mungkin terdapat perbezaan sedikit apabila membaca syarat undang-undang tubuh ini seperti di negeri beraja terkandung syarat iaitu menteri besar itu mesti Melayu dan Islam. Namun begitu, dari segi syarat jantina tiada disebutkan.

Ini bermakna, jika ada cadangan untuk calonkan Adun Kajang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ibrahim jadi MB,  perkara ini tiada masalah. Mungkin dari pihak istana tidak perkenan dengan calon tetapi dari sudut perlembagaan undang-undang tubuh, perkara ini dibenarkan. Ia tidak seperti raja di mana syaratnya adalah lelaki tetapi dalam jawatan politik, ia tiada masalah.

Apa yang akan menjadi sekatan kepada pelantikan ini?

DR ABDUL AZIZ : Dalam perkara ini, sekatan mungkin dari segi syarat bangsa dan agama tetapi paling penting calon adalah seorang Adun negeri. Kalau di tempat lain, syarat Melayu dan Islam ini tidak disebutkan berbanding di sembilan negeri yang mempunyai raja dan merupakan sejarah. Tetapi, sebelum zaman merdeka, lantikan ini adalah lantikan peribadi oleh sultan.

Bagaimanapun, bila berlakunya pihak istana meminta tiga nama calon maka kita sudah kembali kepada zaman lama. Ingin saya tegaskan bahawa pihak istana tidak boleh campur tangan dalam menentukan apa yang di suka atau tidak dan tidak boleh menentukan syarat. Walaupun kita akur pihak istana mungkin selesa dengan calon tersebut, itu tidak penting kerana kerajaan yang ditubuhkan adalah hak dan urusan dewan.

Saya percaya bila ada campur tangan pihak istana, ia pastinya akan menimbulkan masalah. Sebagai contoh, jika kerajaan itu gagal berfungsi, adakah kita mahu heret istana dalam masalah tersebut. Prinsipnya, kerajaan bertanggungjawab itu akan dinilai bukanlah di atas dasar istana malah kita tidak mahu istana dipalit dengan masalah. Ini bukan soal menolak sultan tetapi kerajaan itu adalah milik rakyat.

Apakah kuasa sultan menerusi undang-undang tubuh?

DR ABDUL AZIZ : Walaupun syarat yang ditetapkan iaitu Melayu dan Islam, istana boleh ketepikan syarat tersebut jika Melayu itu tidak berkelayakan seperti buta huruf, menimbulkan kesulitan atau tiada Melayu langsung.

Undang-undang tubuh memberi laluan kepada sultan untuk mengetepikan syarat itu tetapi calon yang difikirkan itu mestilah mendapat majoriti kepercayaan dewan dan itu paling asas.

Begitu juga dengan pembubaran dewan, sultan mempunyai budi bicara tertentu tetapi mestilah dengan alasan kukuh. Sekiranya dewan tidak mahu permintaan pertukaran dewan tetapi keadaan dewan kecoh, maka undi percaya boleh dilakukan.

Apakah kelebihan undang-undang tubuh?

DR ABDUL AZIZ : Syarat undang-undang tubuh ini berbeza dengan negeri beraja atau tiada raja. Ia ditubuhkan kerana mahu mengamalkan demokrasi berparlimen dan pada masa sama mahu kekalkan sejarah.

Namun jelasnya, MB itu mestilah Melayu dan Islam dan begitu juga syarat  sama diletakkan kepada pelantikan setiausaha kerajaan dan ketua pentadbir kerajaan. Ini berbeza dengan jawatan perdana menteri dan ketua setiausaha negara.

Bagaimana Dr melihat kemelut PR dalam isu pelantikan MB Selangor baru?

DR ABDUL AZIZ :  Saya melihat tiada isu di Selangor, lagi-lagi isu pertukaran MB Selangor ini apabila PKR dan DAP sebulat suara dan majoriti Pas pula setuju dalam perkara ini. Kalau lihat  isunya sekarang, majoriti yang didominasi PR mahukan MB baru.

Soal dan dasarnya sekarang, kerajaan pusat dan negeri adalah bertanggungjawab kepada dewan dan kita mahu elakkan pihak istana terlibat dengan masalah rutin dan remeh. Kita tidak mahu istana tercemar dan dalam konteks Malaysia, istana mempunyai tanggungjawab menjaga soal agama dan itu lebih penting.

Tetapi sekiranya campur tangan pihak istana itu berpotensi menyebabkan kontroversi, adalah lebih baik pihak istana tidak memihak kepada mana-mana pihak.

Berbalik kepada isu MB, sekiranya MB Selangor meletak jawatan, adakah exco lain perlu bertindak sama?

DR ABDUL AZIZ : Prinsipnya, apabila MB atau perdana menteri meletak jawatan, seluruh kabinet dan exco perlu meletak jawatan walaupun ada pihak yang tidak mahu. Secara automatiknya, semua ketua kerajaan tiada lagi kuasa dan undang-undang jelas apabila MB letak jawatan, digugurkan atau mati, kerajaan terus terbubar dan bukan lagi anggota kerajaan.

Melihat kedudukan kerusi Dun yang dimonopoli  Pas, apakah terdapat kesan sekiranya Pas menuntut jawatan MB?

DR ABDUL AZIZ : Umumnya, dari segi politik akan ada kesannya kerana kebiasaannya majoriti adalah penentu. Tetapi perlu juga diingatkan dalam isu ini, walaupun Pas mendominasi kerusi, adakah PKR dan DAP akan menyokong Pas? Memang kita ada dengar desas-desus Pas mahu calonnya jadi MB  kerana syarat Melayu dan Islam tetapi masalahnya bolehkah Pas peroleh sokongan.

Jika dilihat kepada kerusi, Pas memperoleh 15 kerusi namun PKR dan DAP apabila digabungkan mempunyai 28 kerusi dan sama ada Pas boleh mendapatkan 28 sokongan dalam dewan. Dari segi politiknya, ini adalah satu angan-angan yang tidak berasas. Undang-undang mungkin memberi majoriti kepada Pas tetapi parti lain mungkin tidak menyokong. Dimaklumkan juga DAP tidak akan menyokong Pas dalam pelantikan ini dan dalam proses demokrasi, takkan Pas mahu gunakan pengaruh atas dasar feudal kerana kerajaan wujud adalah atas dasar kekuatan.

Bagaimana jika MB enggan undur?

DR ABDUL AZIZ : Ini pernah berlaku kepada bekas MB Selangor, Datuk Harun Idris (1964-1975) apabila enggan melepaskan jawatan walaupun didesak  Umno setelah undi tidak percaya dilakukan dan begitu juga bekas MB Kelantan, Datuk Muhamed Nasir pada tahun (1973 -1978) yang digulingkan secara undi tidak percaya. Jadi mustahil perkara ini tidak akan berlaku di Selangor apabila MB tiada pengaruh.
Walaupun undang-undang tubuh atau perlembagaan tidak menyebut perkara ini, tetapi jawatan MB adalah jawatan politik.

Jika sudah ada undi tidak percaya dan ditolak oleh parti maka dia kena berundur. Walaupun dia masih Adun, dia duduki jawatan tersebut di atas majoriti dan perlu akur sekiranya sudah mendapat isyarat parti untuk lepaskan jawatan.
Tapi dalam situasi di Selangor sekarang, walaupun pernah berlaku kepada Datuk Harun, mungkin parti merasakan dengan membuat undi tidak percaya, ia bukanlah pilihan yang sesuai sekarang.

Apa yang boleh disimpulkan dengan krisis politik MB Selangor?

DR ABDUL AZIZ : Saya boleh simpulkan bahawa MB Selangor kini sudah tidak ada kedudukan dalam parti. Bagi kebanyakan negara dalam Komanwel, kebiasaannya ketua kerajaan adalah pemimpin parti sebagaimana perdana menteri merupakan pemimpin parti.

Berbeza dengan isu di Selangor, senario menunjukkan kesulitan apabila seseorang itu bukan pemimpin parti atau individu itu cuba menunjukkan bebas. Berbeza seperti di Pulau Pinang di mana Lim Guan Eng merupakan Setiausaha Agung DAP dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat merupakan Presiden Pas.

Untuk memudahkan parti, ketua kerajaan adalah pemimpin parti. Di sinilah masalah apabila jawatan parti tidak seragam. Di Selangor, jawatan tertinggi PR dipegang orang lain dan jawatan MB pula disandang orang lain. Oleh itu, untuk memudahkan hubungan parti, ketua kerajaan hendaklah juga pemimpin parti.

Apa yang berlaku di Selangor, berlakulah persaingan  kerana kedua-dua pemimpin berbeza kerana masing-masing ada kuasa dan wilayahnya. Kalau MB itu laksanakan dasar parti, mungkin tidak menimbulkanmasalah tapi kalau dia nafikan politik itu dengan pembawaan sendiri, ini akan menimbulkan konflik.

 



Comments
Loading...