Siapa di balik pertemuan lewat malam MB Selangor dan PAS


fb_chegu

Zulkifli Sulong, The Malaysian Insider

Siapa sebenarnya yang mengatur pertemuan lewat malam antara Presiden dan Setiausaha Agung PAS dengan Menteri Besar Selangor lewat malam 11 Julai lalu kini menjadi tanda tanya.

Ini kerana pertemuan itu dimanipulasikan sedemikian rupa dan semacam diatur khas untuk memenuhi agenda pihak-pihak yang berkenaan.

Ia seolah-olah mahu menunjukkan Tan Sri Khalid Ibrahim mendapat sokongan padu pucuk pimpinan PAS dalam krisis yang berlaku di Selangor sekarang.

Pada 10.36 malam 12 Julai, laman Facebook Khalid, Menteri Besar Selangor memuatnaik sekeping gambar dengan tulisan “Berbual santai bersama Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali semalam.”

Ia kemudiannya disusuli dengan Facebook Che’gu Bard atau Badrul Hisham Shahrin, aktivis PKR dari Negeri Sembilan yang juga aktivis Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) yang memuatnaik gambar pertemuan yang sama, tetapi dengan keterangan gambar yang sudah nampak lain.

Che’gu Bard bertanya, mengapa pertemuan tiba-tiba ini dan di tengah malam pula.

“Macam-macam cerita muncul… adakah berkaitan tekanan mutakhir ini dan TSKI akan masuk PAS? Politik ini seni seribu kemungkinan… emm,” tulis beliau dalam Facebooknya.

Ekoran itulah pelbagai pihak mula membuat komen dan Khalid terpaksa menafikan beliau akan masuk PAS.

“Saya bergambar dengan perdana menteri, selepas itu dengan (Ketua Umum PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan malam tadi bergambar dengan presiden PAS. Kalau berasaskan gambar saya, banyak parti sudah saya masuk,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Insentif Kontinjen Selangor untuk Sukma 2014 di Shah Alam sehari selepas itu.

Sebelum itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali juga terpaksa membuat penafian yang sama melalui Sinar Harian.

Mustafa menegaskan pertemuan yang berlangsung lewat malam tadi bersama Presiden PAS Pusat, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim hanyalah satu perjumpaan biasa yang diadakan pada bulan Ramadan.

Tegas beliau, ketiga-tiga pemimpin langsung tidak menyentuh berkenaan dengan isu politik atau parti masing-masing sepanjang masa pertemuan tersebut berlangsung.

“Itu hanya pertemuan biasa yang berlaku di kalangan pemimpin. Kami sudah lama tidak berjumpa, jadi selepas masing-masing menunaikan ibadah terawih, kami ambil kesempatan untuk berkumpul dan bersembang santai,” katanya ketika sebagaimana dilaporkan Sinar Harian Online 13 Julai.

Mengulas mengenai dakwaan perbincangan tersebut diadakan kerana Khalid mungkin akan menyertai PAS, beliau berkata ia sesuatu keputusan yang mustahil dan tidak akan diterima oleh kedua belah pihak.

“Dia menteri besar di PKR, PAS tidak akan terima dia menyertai parti. Perkara sedemikian tidak berbangkit langsung dalam perjumpaan kami malam tadi,” sangkalnya.

Itu apa yang dilaporkan secara terbuka oleh media. Namun yang lebih menarik adalah bagaimana pertemuan lewat malam itu boleh berlaku.

Ia bermula dengan Datuk Mustafa Ali menerima satu panggilan telefon daripada rakannya yang memaklumkan Khalid mahu bertemu dengan beliau.

Namun ia tidak mendapat respon dari Mustafa kerana kalau ia datang daripada Khalid, mengapa perlu dimaklumkan oleh orang tengah.

Namun dua tiga hari selepas itu, anak Mustafa sendiri menghubunginya memaklumkan Khalid mahu bertemu dengan pucuk pimpinan PAS.

Sekali lagi Mustafa keliru, kalau Khalid mahu bertemu mengapa tidak daripada pejabat Khalid sendiri sebagaimana biasa.

Ekoran itu Mustafa meminta anaknya meminta orang yang berkata itu menghubungi beliau sendiri.

Ketika itulah baru ia semacam menjadi rasmi… pejabat Khalid menghubungi pejabat PAS… lalu berlakulah pertemuan lewat malam itu di kediaman peribadi Khalid.

Ketika itu Khalid baru selesai menyertai majlis berbuka dan solat terawih dengan Tuanku Sultan Selangor.

Pertemuan itu benar-benar menjadi pertemuan santai antara Khalid, Mustafa serta Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan disertai sama oleh Raja Idris Raja Kamarudin, Pengerusi Kumpulan Perangsang Selangor.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...