Dr Aziz Bari : PAS Jadi MB Selangor, Angan-Angan Tidak Berasas


Dr Abdul Aziz Bari

(AIDC) – Profesor Dr Abdul Aziz Bari berpendapat jika berlaku pertukaran Menteri Besar Selangor, secara realitinya, ia akan berlaku di kalangan PKR dan tidak mungkin akan beralih kepada PAS, walaupun parti itu mendapat majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Umumnya, dari segi politik akan ada kesannya kerana kebiasaannya majoriti adalah penentu. Tetapi perlu juga diingatkan dalam isu ini, walaupun PAS mendominasi kerusi, adakah PKR dan DAP akan menyokong PAS? Memang kita ada dengar desas-desus PAS mahu calonnya jadi MB kerana syarat Melayu dan Islam tetapi masalahnya bolehkah PAS peroleh sokongan,” soalnya ketika diwawancara Sinar Harian.

Pada Pilihanraya Umum ke-13, daripada 56 kerusi DUN, PAS menang 15, DAP 15, PKR 14 dan BN 12.

Menurut Aziz walaupun pada pandangan kasar PAS adalah majoriti, namun perkiraan secara realiti ditentukan oleh sokongan dua parti lain terutamanya DAP.

“Jika dilihat kepada kerusi, PAS memperoleh 15 kerusi namun PKR dan DAP apabila digabungkan mempunyai 28 kerusi dan sama ada PAS boleh mendapatkan 28 sokongan dalam dewan.

“Dari segi politiknya, ini adalah satu angan-angan yang tidak berasas. Undang-undang mungkin memberi majoriti kepada PAS tetapi parti lain mungkin tidak menyokong.

“Dimaklumkan juga DAP tidak akan menyokong PAS dalam pelantikan ini dan dalam proses demokrasi, takkan PAS mahu gunakan pengaruh atas dasar feudal kerana kerajaan wujud adalah atas dasar kekuatan,”katanya.

Aziz berkata dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 hanya menyebut MB itu seorang Melayu dan Islam, tetapi tidak menyebut soal jantina.

“Ini bermakna, jika ada cadangan untuk calonkan ADUN Kajang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ibrahim jadi MB, perkara ini tiada masalah.

“Mungkin dari pihak istana tidak perkenan dengan calon tetapi dari sudut perlembagaan undang-undang tubuh, perkara ini dibenarkan.

“Ia tidak seperti raja di mana syaratnya adalah lelaki tetapi dalam jawatan politik, ia tiada masalah.”

Menyentuh mengenai kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai MB Selangor, beliau berpendapat ia berpunca daripada dasar pecah dan perintah di antara parti dan pentadbiran negeri.

“Saya boleh simpulkan bahawa MB Selangor kini sudah tidak ada kedudukan dalam parti. Bagi kebanyakan negara dalam Komanwel, kebiasaannya ketua kerajaan adalah pemimpin parti sebagaimana perdana menteri merupakan pemimpin parti.

“Berbeza dengan isu di Selangor, senario menunjukkan kesulitan apabila seseorang itu bukan pemimpin parti atau individu itu cuba menunjukkan bebas. Berbeza seperti di Pulau Pinang di mana Lim Guan Eng merupakan Setiausaha Agung DAP dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat merupakan Presiden Pas.

“Untuk memudahkan parti, ketua kerajaan adalah pemimpin parti. Di sinilah masalah apabila jawatan parti tidak seragam. Di Selangor, jawatan tertinggi PR dipegang orang lain dan jawatan MB pula disandang orang lain. Oleh itu, untuk memudahkan hubungan parti, ketua kerajaan hendaklah juga pemimpin parti.

“Apa yang berlaku di Selangor, berlakulah persaingan kerana kedua-dua pemimpin berbeza kerana masing-masing ada kuasa dan wilayahnya. Kalau MB itu laksanakan dasar parti, mungkin tidak menimbulkanmasalah tapi kalau dia nafikan politik itu dengan pembawaan sendiri, ini akan menimbulkan konflik.”

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menulis di blog anwaribrahimblog mengakui beliau merupakan pencatur kedudukan jawatan dalam parti.

“Rakan-rakan di Selangor umumnya mendesak supaya Tan Sri Khalid terus memimpin Selangor. Tetapi beliau kini adalah Setiausaha Agung dengan beban kerja yang menimbun.

“Maka saya mengusulkan nama bekas Timbalan Menteri Besar Selangor dan Profesor di Universiti Malaya, Dato’ Dr Zainal Abidin Ahmad,” tulis Anwar pada 18 Jun 2007, setahun selepas Khalid menyertai PKR.

Apabila Pakatan berjaya mengambil alih kerajaan negeri pada Mac 2008, Khalid telah dilantik sebagai MB Selangor, dalam masa sama beliau turut dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Selangor..

Namun tiga tahun selepas itu, pada 27 Jun 2010, jawatan Khalid sebagai Pengerusi MPN diganti dengan Azmin Ali.

Pengumuman pelucutan jawatan Khalid diumumkan Presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selepas pemukinan parti selama dua hari di sebuah hotel di Shah Alam.

Dalam pemukiman itu yang tidak dihadiri Khalid itu sudah ada desakan agar beliau berundur daripada MB Selangor, namun perkara itu dinafikan parti.

“Rombakan itu dilihat mengejutkan apabila sejak semalam ramai pemimpin kanan parti itu terus menafikan terdapat desakan supaya Khalid berundur dalam pemukiman PKR,” lapor Malaysiakini.

 



Comments
Loading...