Lembaga Disiplin PKR gugur enam ahli PKR


tan_kee_kwong

(FMT) – Pengerusi Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr. Tan Kee Kwong berkata telah membuat keputusan dan dipersetejui oleh Biropolitik untuk mengugurkan enam ahli PKR.

Menurut beliau enam ahli PKR tersebut adalah ahli PKR Cabang Ampang, Nasharuddin Md Isa, ahli Cabang Kota Raja, Nallasamy A/L Kumarasamy, Sathiaseelan A/L Nagamuthu, Vijay Kumar Samy, Mohanathas A/L Alagan dan ahli PKR Cabang Kuala Selangor, Mustapha Mohd Talib.

“Nasharuddin sebelum ini telah memfailkan writ saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 27 Jun yang lalu.

“Tindakan beliau itu telah melanggar Perlembagaan Parti Fasal 44.1 iaitu Larangan Membawa Parti ke Mahkamah dan tiada seorang anggota yang boleh membawa apa-apa perkara parti ke mana-mana mahkamah. Sekiranya berbuat demikian, maka keanggotaannya tergugur secara automatik,” katanya.

Sementara itu, Nallasamy pula dipecat dari PKR kerana telah terlibat dalam satu tindakan merampas dan menendang peti undi semasa proses pemilihan di Cabang Kota Raja pada 11 Mei yang lalu.

“Sathiaseelan pula dipecat kerana telah melakukan kekasaran terhadap seorang anggota parti di dewan pengundian sewaktu proses pemilihan berlangsung di Cabang Kota Raja.

“Vijay dan Mohananthas pula dipecat kerana telah terlibat dalam satu tindakan merampas dan memecahkan peti undi semasa proses pemilihan di Cabang Kota Raja pada 22 Jun yang lalu,” katanya.

Tambahnya lagi, Mustapha telah didakwa membuat ugutan terhadap seorang calon untuk tidak meneruskan niat bertanding untuk jawatan Ketua Cabang Kuala Selangor.

“Mustapha dengan ini digantung daripada keanggotaannya selama setahun,” jelasnya.

“Keputusan ini dibuat setelah penelitian dan siasatan berkenaan beberapa kes berkaitan tatatertib dan disiplin anggota,” ujarnya.

Katanya lagi, kes-kes ini telah pun dibentangkan dalam mesyuarat Biropolitik bertarikh 1 Julai tahun ini yang dipengerusikan oleh Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan dihadiri anggota-anggota Biropolitik yang lain.

 



Comments
Loading...