JPP serah pada polis, tiada pemilihan semula
(Sinar Harian) – Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat insiden pergaduhan yang berlaku pada pemilihan cabang Kota Raja dan Kuala Langat.
Pengerusinya, Datuk Johari Abdul berkata, insiden di Kuala Langat tidak berlaku di kawasan tempat pemilihan sedang berjalan.
Menurutnya, tidak ada isu di Kuala Langat ekoran kejadian tersebut berlaku di luar waktu pengundian.
“Kami pun tak tahu siapa yang terlibat sama ada ahli ataupun tidak. Orang yang teraniaya pun kita tak tahu sama ada ahli ataupun tidak.
“Ini kita serah kepada polis dan kalau mereka anggota, maka Lembaga Disiplin akan melihat. Tapi setakat yang kami tahu, kami yakin bahawa ia bukan di sempadan kami. Sudah pasti ia tidak melibatkan JPP,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, hari ini.
Ekoran itu, Johari menegaskan, pemilihan semula tidak akan dilakukan kerana pemilihan mematuhi peraturan JPP.
Semalam, proses pemilihan semula PKR Kota Raja bertukar ganas sehingga mengakibatkan dua lelaki cedera dalam pergaduhan semasa sesi pengundian.
“Proses berjalan dengan baik cuma kita dimaklumkan ada sedikit kekecohan pada pukul 4.30 petang. Ada percubaan untuk merosakkan majlis tersebut. Pemilihan dihentikan tepat-tepat waktu enam jam yang diperuntukkan dalam peraturan kita.
“Maknanya pemilihan itu sah dan kita tidak akan buat pemilihan semula. Orang yang membuat kacau itu telah kita rakam dan diserah kepada Lembaga Disiplin untuk diambil tindakan,” katanya.
Jelasnya, Lembaga Disiplin sedang menjalankan siasatan ke atas kejadian itu.
“Kita sedang siasat dan kalau yang terlibat bukan ahli, kita akan serah kepada polis.
“Jika mereka ahli, kita akan ambil tindakan, tetapi itu sedang disiasat Lembaga Disiplin,” katanya lagi.