Pemuda Umno pelawa Dyana Sofya


Syamsul Baharin
(Sinar Harian) – Pemuda Umno hari ini mempelawa calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud menyertai Umno bagi menyumbang idea dan tenaga untuk kepentingan anak muda di negara ini.
Perkara itu dinyatakan sendiri, Exco Pemuda Umno, Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi selepas melihat Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyalahkan Dyana Sofya atas kekalahan mereka mempertahankan kawasan Parlimen Teluk Intan.
“Selepas beberapa hari PRK Parlimen Teluk Intan tamat, masih ramai yang memperkatakan mengenai kehadiran seorang gadis yang tampak biasa tetapi penuh bersemangat sebagai calon yang mewakili DAP.
“Malangnya, Guan Eng dengan angkuh telah memberi pandangan bahawa kekalahan Dyana Sofya adalah disebabkan ciri-ciri dirinya yang masih muda, seorang wanita dan seorang Melayu,” katanya dalam satu kenyataan media.
Syamsul Baharin yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Ipoh Barat berkata, dia sendiri tertarik dengan penulisan Dyana Sofya bertajuk ‘Satu Jam Bersama Obama’, yang menyatakan anak muda harus mencari platform dengan melibatkan diri bersama kumpulan yang menghargai bakat dan usaha.
Katanya, pelawaan itu dibuat agar ciri-ciri yang ada pada Setiausaha Politik Ahli Parlimen Gelang Patah itu dapat digunakan secara optimum demi ‘survival’ anak-anak muda Malaysia.
“Semangatnya ketika mengharungi cabaran PRK cukup mengagumkan walaupun diperlekehkan oleh kepimpinan dan ahli-ahli DAP umumnya yang berbangsa Cina. Oleh itu silalah meneruskan perjuangan di tempat asalmu dan tempat ayahanda dan bondamu wahai saudari Dyana.
“Kami sentiasa menerimamu dalam Umno Bahagian Ipoh Barat kerana Umno sahajalah parti keramat Melayu yang memperjuangkan nasib bangsa melayu dan bangsa-bangsa lain di Malaysia, melalui BN,” katanya.


Comments
Loading...