Kerajaan Selangor kecam laporan NST
Dakwaan akhbar berkenaan amat berbeza dengan laporan yang diterima oleh LUAS.
(Free Malaysia Today) – Kerajaan Selangor mengecam laporan akhbar New Strait Times hari ini yang mendakwa air bekas lombong yang dipamkan ke Sungai Selangor tidak selamat.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi, dakwaan akhbar berkenaan amat berbeza dengan laporan penuh yang diterima oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yang mendapati air bekas lombong itu selamat untuk pengguna.
“LUAS telah menerima hasil sampel yang dihantar kepada Jabatan Kimia pada 2 Mei lalu menunjukkan kandungan besi, magnesium, nickel dan plumbum di bawah paras yang dibenarkan oleh Kementerian Kesihatan,” ujarnya sewaktu sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam.
Katanya, sebagai contoh kandungan plumbum yang dilaporkan oleh NST mendakwa terdapat 0.46 peratus lebih dari had yang dibenarkan iaitu 0.01 peratus sedangkan Jabatan Kimia mengesahkan kesemua kolam bekas lombong mengandungi plumbum di bawah paras dibenarkan oleh Kementerian Kesihatan.
Tambah beliau, air lombong ini dipamkan ke Sungai Selangor dan disalurkan ke Loji Pembersihan Air (LPA) Empangan Sungai Selangor.
“Air ini perlu melalui beberapa proses rawatan untuk pembersihan dan diwajibkan melepasi pemeriksaan kualiti mengikut piawaian yang ditetapkan selepas disalurkan kepada pengguna,” katanya.
Ujar Yunus lagi, kerajaan negeri memberi jaminan bahawa air lombong yang disalurkan kepada pengguna adalah selamat untuk digunakan berdasarkan jaminan yang diberikan oleh LUAS.
“Perlu diingatkan kepada pengguna bahawa air yang disalurkan ke paip-paip mereka bukan air mentah tetapi air terawat yang telah melepasi beberapa proses rawatan,” katanya.
Yunus turut menerangkan berkenaan hasrat Kerajaan Selangor untuk melaksanakan pembenihan awan menggunakan ‘Royal RainMaker Technology’ daripada Thailand yang diakui terbaik di dunia.
“Teknik itu seolah-olah teknik serangan iaitu tembakan sejenis bahan ke awan di dalam ruang udara negara kita,” katanya.
Teknologi Thailand itu menggunakan teknik tembakan dalam jarak sehingga 9,000 kaki dan mampu menghasilkan hujan dalam tempoh masa yang singkat, iaitu sekurang-kurangnya 15 minit sahaja.