Hudud: Pas Terengganu sokong hasrat Kelantan


Satiful Bahri Mamat

(Bernama) – Badan Perhubungan Pas Terengganu (BPPNT) menyokong hasrat kerajaan negeri Kelantan melaksanakan rang undang-undang persendirian berkaitan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 (Hukum Hudud).

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat menyifatkan langkah Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob itu itu sebagai tindakan terpuji dan turut mendapat maklum balas positif daripada kerajaan pusat serta Adun dan Ahli Parlimen pembangkang (Barisan Nasional) di negeri itu.

“Sudah pastinya kita (Pas negeri) menyokong penuh cadangan dan tindakan yang diambil ataupun keputusan dibuat oleh MB Kelantan itu.

“Malah ini akan lebih mudah (diluluskan rang undang-undang) kerana kerajaan pusat sendiri sedia beri kerjasama dan kita harap hasrat kerajaan Kelantan dapat direalisasikan,” katanya dalam sidang media di Pejabat BPPNT di sini hari ini.

Perkara berkenaan diputuskan Menteri Besar Kelantan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri semalam sebagai menyahut kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Dewan Rakyat pada 28 Mac bahawa kerajaan pusat bersedia membantu jika kerajaan negeri Kelantan bersedia melaksanakan undang-undang berkenaan.

Ahmad berkata kerajaan negeri akan menyiapkan rang undang-undang persendirian itu yang akan dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat terdekat oleh seorang anggota Parlimen bukan kerajaan bagi mendapat kebenaran untuk Kelantan melaksanakan undang-undang tersebut seperti diperuntukkan oleh Perkara 76 (A) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya keputusan kerajaan negeri untuk membentangkan rang undang-undang persendirian itu dibuat kerana sebahagian besar daripada kesalahan jenayah hudud dan qisas seperti mencuri, merompak, merogol, mencedera dan membunuh terletak dalam bidang kuasa kerajaan Persekutuan sebagaimana diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan, dan begitu juga agensi-agensi penguatkuasaan atau pelaksana seperti polis dan jabatan penjara.

 



Comments
Loading...