PKR patut terima kritikan kami
CINA KAMPUNG BARU
Yang Mulia Raja Petra,
Seorang rakan yang saya kenali sewaktu sama-sama aktif dalam sebuah NGO sebelum PRU13 pernah menjadi pembantu dan juga PACA kepada seorang MP dari PKR semasa PRU13 dan rakan saya ini juga terlibat secara aktif dalam perihal parti.
Rakan saya ini mula tidak senang dengan tindak tanduk parti ini setelah berlakunya Kajang Move dan kemudiannya mengambil keputusan untuk mengutarakan beberapa kritikan, termasuk beberapa komen yang negatif, terhadap PKR di akaun Facebook MP berkenaan.
Dari yang demikian, sebelum sambutan Tahun Baru Cina yang lalu, rakan saya dan seorang lagi teman telah dilabel oleh MP terbabit sebagai cybertrooper yang dibayar oleh Umno dan melarang mereka ini dari terus membuat sebarang posting di Facebooknya. Menyedari kemudiannya bahawa rakan saya dan temannya itu adalah penyokong pakatan pembangkang (setelah diberitahu oleh yang lainnya), MP terbabit menyatakan kehampaan beliau kerana komen-komen negatif seperti itu datang dari penyokong PR sendiri (more dissapointed knowing they are PR supporters).
Apa yang lebih memburukkan keadaan adalah akaun Facebook teman kepada rakan saya ini (yang sama-sama dilarang dari melakukan sebarang posting di Facebook MP tadi) telah diserang oleh cybertroopers setelah dia meletakkan beberapa posting yang menyentuh mengenai Rafizi Ramli dan juga Kajang Move.
Apa yang dapat saya simpulkan adalah Pakatan Rakyat terutamanya PKR kini sudah besar kepala dan tidak boleh ditegur lagi. Mereka tidak boleh menerima kritikan malahan melarang umum daripada membuat sebarang komen yang negatif mengenai mereka. Mereka ini lebih BURUK dari Umno/Barisan Nasional.
Saya tidak pernah dengar, dari sebelum PRU13 sehingga sekarang, Najib atau mana-mana menteri Umno/BN mengambil tindakan yang sama seperti sesetengah MP Pakatan Rakyat (menyekat umum membuat komen) meskipun menerima banyak komen negatif dan kritikan dari berjuta rakyat.
Yang Mulia Raja,
Perkara yang sama juga berlaku kepada laman portal yang lain seperti Tukar Tiub dan Suara Keadilan yang terpaksa berhadapan dengan tindakan saman hanya kerana memaparkan satu komen yang mengatakan bahawa DNA Saudara AA dipenuhi dengan DNA Umno.
Tukar Tiub sejak dari mula memang lantang mengkritik Najib dan juga Rosmah, namun yang menghairankan tidak pernah pula Najib menyaman portal terbabit. Rasa-rasanya Saudara AA ini bukan mempunyai DNA Umno dalam darahnya tetapi DNA DIKTATOR! Perangai kuku besi seperti Mao, Hitler, Ghaddafi, Kim dan yang lain-lain memang seperti sudah sebati dengan Saudara AA ni.
Kebebasan Bersuara adalah salah satu permintaan daripada rakyat dan salah satu sebab mengapa kita berkobar-kobar untuk menggulingkan rejim Umno/BN. Sekiranya perangai dan tindak tanduk Pakatan Rakyat lebih kurang sama dan mungkin lebih teruk, maka ia menjadi sesuatu yang teramat sia-sia untuk terus menyokong mereka.
Berikut adalah antara komen di Facebook untuk perhatian Yang Mulia Raja:
Dalam sejarah 7 tahun menggunakan Facebook, saya tidak pernah mengalami masalah. Tujuh tahun yang kebanyakannya adalah mengkritik/memburukkan pemimpin Umno. Akaun Facebook saya tidak pernah pula digodam oleh cybertroopers Umno.
Walau bagaimanapun, sejak Kajang Move, saya menjadi kritikal terhadap Pakatan Rakyat, terutamanya PKR, kerana merekalah yang merancang Pilihan Raya Kecil Kajang ini. MP Pandan, Rafizi Ramli juga merupakan ahli parlimen PR yang paling ke depan dalam mempertahankan langkah yang diambil di Kajang ini, kerana beliau adalah Pengarah Strategi PKR. Beliau juga mendakwa, beliau adalah perancang utama langkah ini.
Mengapa saya bertindak sedemikian? Kenapa penyokong pakatan mahu membantah Pakatan Rakyat? Sebenarnya, saya tidak berseorangan membantah Kajang Move ini. Ramai lagi di luar sana, sama ada di dalam PKR atau di luar parti membangkang langkah tersebut. Mereka yang berada di dalam parti tidak mahu bersuara lebih lantang kerana sayangkan parti. Ada juga yang mahu melihat selepas pemilihan PKR, sama ada ‘masalah’ yang mereka fikir melanda parti dapat diselesaikan.
Rata-rata ramai yang bersetuju bahawa ia adalah satu langkah ke belakang dalam demokrasi di mana seorang ADUN dipaksa untuk meletak jawatan semata-mata kerana sebab-sebab yang ‘tidak pasti’, untuk memberi laluan kepada Anwar dalam menyelesaikan ‘masalah’ tersebut. Ada banyak cara lain yang boleh dilakukan tanpa melibatkan pilihan raya kecil yang boleh menyelesaikan masalah itu!
Kembali semula kepada isu yang ingin saya kedepankan. Saya tidak tahu kenapa, sejak Kajang Move ini, akaun Facebook saya dua kali digodam. Pertama kali bulan lepas, ada individu yang telah menceroboh masuk dan kemudian menukar kata laluan saya. Mujur saya ada mendaftar nombor telefon saya dengan Facebook, di mana mereka kemudian memberi saya nombor sekuriti untuk menukar kembali kata laluan bagi akaun saya. Kali kedua, sebentar tadi, seseorang telah menyebabkan akaun facebook saya ‘temporary disable’. Mujur kali ini dia tidak dapat menukar ‘password’ saya kerana saya telah menambah sekuriti kepada ‘authorised device’. Saya menambah sekuriti tersebut setelah dinasihati oleh blogger terkenal Ameno World, Nurul Ashikin.
Saya tidak tahu siapa yang cuba mengganggu akaun Facebook saya, tetapi kedua-duanya berlaku dalam keadaan yang lebih kurang sama iaitu sebaik sahaja saya memuat naik gambar ‘printscreen’ yang kritikal terhadap Rafizi Ramli. Maka, saya mengesyaki bahawa serangan ini dilakukan oleh pasukan cybertrooper Rafizi Ramli sendiri. Jika bukan, mungkin seseorang yang sangat simpati kepada Rafizi yang tidak sanggup melihat YB kesayangannya dikritik. Jika ya, maka ini adalah perkara yang paling memalukan, satu cubaan untuk menutup mulut orang yang kritikal terhadap PKR.
Saya ingin memberi sedikit nasihat kepada Rafizi, memang betul, anda pemimpin parti politik muda yang disegani lawan dan juga kawan. Tetapi, bila kawan mengkritik anda, jangan anggap kawan itu lawan anda! Anda sudah ada cukup musuh di pihak Umno, jangan pula anda menambah musuh di kalangan kami. Kami juga tahu keburukan anda dan kami memilih untuk tidak mencanang semua itu kerana anda bukanlah musuh kami. Bila kami memberikan kritik sila ambil positif dengan kritikan kami, jangan cepat melenting. Kata orang tua, ikut resam padi, semakin berisi semakin rebah ke bumi, bukan ikut resam lalang.
Saya berharap mesej saya ini dapat disebarkan.
Tolong kongsikan bersama rakan-rakan anda. Kita sayang Pakatan Rakyat, kita tidak mahu Pakatan rosak seperti Barisan Nasional!