Mimpi dan Realiti PPPM 2013-2025 – Bahagian I
Mahasiswa dan pelatih guru kini terlalu asyik berfacebook, bertwitter, menulis blog-blog picisan tetapi tidak langsung berkeinginan untuk mengambil bahagian dalam perbincangan yang melibatkan pengembelingan ideakritis dan berinovatif.
Ahmad Syafiq Amir
Dua bulan telah berlalu sejak Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) secara rasminya dilancarkan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Pendidikan Malaysia. Tetapi suara-suara mahasiswa mahupun pelatih-pelatih guru yang tampil untuk membincangkan hal ini secara kritis masih hambar.
Ternyata saya sememangnya sedikit kecewa terhadap sambutan yang tidak seberapa oleh para mahasiswa kita terutamanya yang terlibat secara langsung dalam dunia pendidikan ini untuk berani tampil ke hadapan dan mengetengahkan idea-idea serta saranan-saranan yang boleh diberi perhatian secara jujur.
Sebenarnya suatu persoalan besar yang sentiasa bermain di benak akal saya sehari-hari, “Apa Mahasiswa Mahu?”. Ini persoalan yang saya sendiri timbulkan setelah penantian saya sehari-hari untuk melihat suara-suara mahasiswa dan pelatih-pelatih guru tampil membahaskan perkara ini secara penuh luhur hanya sebuah penantian yang sia-sia dan ilusi semata-mata.
Suatu kerugian buat mahasiswa mahupun para pelatih guru yang tidak mengambil serius berkaitan PPPM ini kerana masa depan serta hala tuju sistem pendidikan kita adalah terletak kepada tahap penglibatan kita dalam sesuatu dasar. Ya, mungkin isu ini bukanlah sehebat isu-isu politik liar mahupun isu-isu K-Pop yang sedang hangat dibincangkan dewasa ini tidak kiralah di kedai-kedai kopi biasa di desa mahupun di Parlimen sekalipun. Juga bukanlah mahasiswa itu sang pengejar ‘ranking’ dalam Book Of Records semata-mata mahupun kuih muih yang ditayang bersaiz gergasi untuk tatapan umum.
Tetapi, adakah mahasiswa kita lupa bahawa dasar pendidikan kita juga perlu dibahas dan dibincangkan secara kritis dan didiskusikan di luar kotak pemikiran supaya tahap pendidikan kita juga dapat ditingkatkan secara dinamik. Saya tidak nafikan bahawa mahasiswa mahupun pelatih-pelatih guru kini terlalu menyibukkan diri dengan perkara-perkara picisan dan tidak mendatangkan manfaat kepada idealisme dan pemikiran generasi mendatang. Suatu yang ketara, mahasiswa dan pelatih guru kini terlalu asyik berfacebook, bertwitter, menulis blog-blog picisan tetapi tidak langsung berkeinginan untuk mengambil bahagian dalam perbincangan yang melibatkan pengembelingan ideakritis dan berinovatif.
Pendidikan Dalam Realiti
Suatu perkara serius yang perlu disedari oleh para mahasiswa ialah pendedahan yang dinyatakan dalam dokumen Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang menunjukkan kedudukan Malaysia menerusi kajian-kajian dan laporan peringkat antarabangsa yang menunjukkan kedudukan negara kita dalam dunia pendidikan ini sangat membimbangkan.
Adakah para mahasiswa di luar sana menyedari bahawa laporan yang dikeluarkan oleh Programme for International Student Assessment (PISA 2009+) telah menunjukkan kedudukan Malaysia berada pada tangga sepertiga paling bawah daripada 74 buah negara yang mengambil bahagian dalam kajian tersebut? Adakah mahasiswa di luar sana menyedari bahawa peratusan penguasaan kemahiran Bahasa, Matematik dan Sains di negara kita semakin merudum hampir setiap tahun?
Laporan PISA 2009+ menyatakan bahawa 60% murid-murid kita gagal dalam mencapai tahap minimum dalam subjek Matematik, 43% pula gagal mencapai tahap minimum dalam subjek Sains sementara 44% daripada murid-murid kita masih gagal dalam menguasai tahap minimum dalam kemahiran-kemahiran bahasa. Kajian ini dijalankan terhadap murid-murid yang berumur 15 tahun purata dan melibatkan perbezaan skor antarabangsa sebanyak 38 mata berbanding negara-negara lain.
Hal ini merunsingkan saya sebagai salah seorang yang bakal bergelar guru beberapa tahun lagi. Apakan tidak, hampir setiap tahun, ada sahaja dasar-dasar pendidikan baharu yang diperkenalkan oleh sang pemimpin, tetapi hasilnya ternyata indah khabar dari rupa.
Lebih membimbangkan, laporan ini juga mendedahkan kedudukan negara kita dalam penguasaan Matematik berada di kedudukan yang ke-57 daripada 74 buah negara yang terlibat dalam kajian ini. Sementara itu, kedududukan dalam penguasaan Sains dan Bahasa masing-masing berada pada kedudukan ke-52 dan 54.
Terbukti, kecelaruan sistem yang ada kini telah mengakibatkan ramai pihak termasuk para pelajar sendiri menjadi mangsa kepada keadaan dan kerumitan yang kita sendiri timbulkan. Hal ini disokong pula dengan kenyataan yang sama yang mendedahkan negara kita berada di bawah purata antarabangsa dan OECD. Perbezaan mata antarabangsa yang dinyatakan bagi murid-murid berumur 15 tahun di negara kita adalah bernisbah 1:3 berbanding negara-negara lain, iaitu Singapura, Korea Selatan, Hong Kong dan Shang Hai kerana skor di negara-negara tersebut tiga kali ganda lebih tinggi berbanding skor di negara kita sendiri bagi murid-murid yang sama umur.
Selain laporan dan pendedahan yang dilaporkan oleh PISA, laporan lain yang memeranjatkan kita (jika sedar) ialah laporan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS). Kajian yang dijalankan pada tahun 2011 menunjukkan bahawa 35% daripada murid-murid kita gagal dalam mencapai tahap minimum dalam subjek Matematik dan 38% pula gagal mencapai tahap minimum dalam penguasaan Sains.
Hal ini menunjukkan penurunan hampir empat kali ganda berbanding laporan sama yang dijalankan pada tahun 1999 yang mana ketika itu kedudukan negara kita masih berada di atas purata antarabangsa. Pendedahan-pendedahan yang jujur ini wajar dilihat secara serius oleh para mahasiswa. Adakah pendedahan-pendedahan ini pun masih tidak mampu membuka mata mahasiswa dan guru-guru pelatih sekalian terhadap situasi dalam dunia pendidikan kita sekarang?
Apakah yang kita mahu tunggu sehingga kemerosotan ini pun masih dipandang enteng dan tidak diberi perhatian yang selayaknya oleh kita? Tanyalah diri kita sendiri, adakah kita adil sebagai seorang mahasiswa yang berpendirian dan berprinsip jika hal-hal besar seperti inipun tidak dapat dibincangkan? jawablah dengan jujur!
“Prestasi murid Malaysia telah meningkat sejak beberapa dekad yang lalu, namun pencapaian yang membanggakan itu menghadapi risiko secara relatif dan mutlak. Hal ini disebabkan pertamanya, sistem pendidikan negara lain dapat meningkatkan prestasi murid dengan lebih cepat dan mampu mengekalkan momentum tersebut secara berterusan. Oleh itu, jurang pencapaian antara sistem pendidikan Malaysia dan negara lain semakin lebar. Keduanya, pentaksiran antarabangsa menunjukkan prestasi murid Malaysia semakin merosot”
Dipetik daripada: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013
Nah, inilah antara suatu yang menimbulkan persoalan yang paling besar dalam kotak pemikiran saya sekarang. Dua sebab yang dinyatakan oleh Kementeria Pendidikan yang menyatakan sebab musababab prestasi murid-murid kita semakin merudum hampir setiap tahun.
Persoalannya, jikalah benar sekalipun sistem pendidikan di negara lain dapat mengatasi sistem pendidikan di negara kita, apakah masalahnya untuk kita terus bangkit menongkah arus demi memperbetulkan kembali kemelut ini? Sedangkan hampir setiap tahun, banyak dasar yang diperkenalkan oleh ‘orang atasan’ itu dan ini, tetapi jawapan yang diberikan ini ternyata mengecewakan kami. Keduanya, pentaksiran antarabangsa yang dinyatakan membuatkan prestasi murid-murid Malaysia merosot? Jadi, untuk apakah ujian-ujian yang dijalankan hampir setiap tahun untuk menguji hanya intelek pelajar itu? Dan mengapakah setiap kali tarikh pengumuman peperiksaan, dilaporkan prestasi meningkat dan meningkat, sedangkan hakikatnya adalah mengecewakan?? Saya lontarkan persoalan ini kepada mahasiswa di luar sana!
Jangan pula kita lupa, bagaimana peluang dan ruang yang ada untuk pelajar-pelajar corot di luar sana untuk mendapat akses pendidikan yang sama dengan rakan-rakan mereka yang lain. Mereka yang dianggap corot selalunya dianggap sentiasa lemah, tidak ada kemahuan untuk berjaya dan mereka dianggap sebagai ‘penjatuh’ ranking sekolah setiap kali tibanya musim peperiksaan! Adakah ini adil bagi mereka? Adakah label ini sepatutnya disandarkan kepada mereka? Kenapa masyarakat khususnya pihak sekolah dan orang awam selalu menganggap para pelajar corot ini tidak berguna? Siapa kita untuk menghukum mereka yang sedikit ketinggalan di belakang dan mengangkat diri kita sendiri sebagai orang yang paling hebat?
Lihatlah bagaimana pelajar-pelajar daripada kalangan anak-anak yatim dan miskin. Lihatlah dan renungilah hidup mereka yang serba kekurangan waimma untuk mendapat akses pendidikan yang sempurna pun masih gagal diberikan perhatian yang sepatutnya. Pelajar corot, anak-anak yatim, anak-anak miskin perlu dibela dan dilihat sebagai suatu yang perlu diberi perhatian yang setimpal. Jangan pula kita asyik bermimpi untuk mencapai ‘ranking’ yang baik setiap tahun, tetapi mengabaikan ‘mereka’ yang masih di belakang. Ketiga-tiga golongan ini sering sahaja diletakkan di kelas-kelas hujung dan dianggap tidak memberi manfaat kepada sekolah! Inikah sikap yang kita ingin tunjukkan?
Mereka juga manusia seperti kita semua yang ada hati, ada perasaan dan ada jiwa untuk berjaya. Tetapi halangannya mereka memerlukan lebih perhatian dan kasih sayang. Ternyata, mereka lebih hebat daripada kita semua, yang dibesarkan tanpa kasih sayang sejak kecil dan hanya mengharap belas kasihan orang lain. Adakah kita hidup untuk menongkat langit tanpa melihat mereka sebagai sebahagian daripada tanggungjawab hidup ini?!
*Ahmad Syafiq Amir merupakan penuntut Institut Pendidikan Guru Malaysia dan juga sukarelawan Teach For The Needs.