Kongres PKR Ahad ini beri kuasa kepada akar umbi?


Buat masa ini kuasa PKR berada di tangan kepimpinan pusat yang diketuai ketua defacto parti Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Oleh Alan Ting, Bernama

Ahad ini (24 Nov), PKR akan mengadakan kongres kebangsaan khas di Shah Alam untuk meminda perlembagaannya bagi memberi laluan kepada pengagihan kuasa dalam parti.

Para pemimpin akar umbi parti itu mahukan lebih banyak suara serta sokongan dalam proses membuat keputusan tetapi buat masa ini kuasa PKR berada di tangan  kepimpinan pusat yang diketuai ketua defacto parti Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua-ketua PKR negeri dilantik oleh kepimpinan pusat di Kuala Lumpur dan peranan mereka adalah terhad memandangkan setiap keputusan mengenai perlantikan biarpun di peringkat negeri perlu dirujuk kepada kepimpinan di Kuala Lumpur.

Inilah yang membuatkan pihak akar umbi di Sabah merasa kecewa kerana kepimpinan pusat parti tidak mendapatkan pandangan mereka ketika melantik Datuk Lajim Ukin sebagai ketua negeri PKR.

Oleh yang demikian, pindaan-pindaan yang dibuat akan memberi kuasa kepada ketua negeri dan cawangan dalam membuat keputusan mengenai perkara-perkara di peringkat negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

PKR pada masa ini menguasai Selangor sementara rakan sekutunya DAP dan PAS, masing-masing menguasai Pulau Pinang dan Kelantan dengan Anwar memastikan ketiga-tiga parti kekal bersama dalam pakatan pembangkang. Melangkah

“Kami mahu memberi lebih banyak kuasa kepada negeri, bahagian, sayap pemuda dan wanita terutamanya kuasa memutuskan calon untuk pelantikan politik di peringkat negeri dan bahagian,” kata pengerusi jawatankuasa pindaan perlembagaan Datuk Tan Yee Kew.

Selaras dengan pindaan yang bakal dibuat, salah satu jawatan naib presiden yang dilantik akan diperuntukkan kepada orang kuat PKR sama ada dari Sabah atau Sarawak.

Dalam masa yang sama, pengerusi PKR dari kedua-dua negeri secara automatiknya juga memperolehi keahlian dalam biro politik parti.

Pada masa ini, PKR mempunyai empat naib presiden yang dipilih sementara kepimpinan tertinggi parti dibenarkan melantik tiga orang lagi.

Para pemerhati politik percaya perubahan itu akan menggalakkan komunikasi dua hala dan membantu mengelakkan pertelingkahan antara pemimpin di peringkat bahagian atau cawangan dengan kepimpinan pusat parti.

Menurut mereka, tanpa pindaan itu, pemimpin akar umbi tidak mempunyai banyak hak untuk bersuara mengenai keputusan-keputusan penting dan ini mungkin mendorong mereka yang tidak berpuas hati membawa rungutan mereka kepada Pendaftar Pertubuhan seperti yang berlaku dalam DAP.

Strategi

Sesetengah pihak percaya langkah membuat pindaan itu ada kaitannya dengan peralihan strategi yang didokong parti iaitu daripada parti yang bertumpu kepada Anwar kepada parti populis yang menyokong kepentingan orang awam.

Ini terutamanya untuk menjadikn PKR lebih menarik kepada penyokong-penyokong dari Sabah dan Sarawak.

“Berdasarkan hasil keputusan PRU13, satu-satunya cara untuk parti itu memperbaiki peluang dalam pilihan raya akan datang adalah dengan memenangi lebih banyak kerusi di Sabah dan Sarawak.

“Ini mungkin menjelaskan mengapa mereka memutuskan untuk memberi lebih banyak suara kepada Sabah dan Sarawak,” kata seorang pemerhati politik dari  Sabah.

Bagaimanapun, ada yang yang percaya bahawa banyak lagi yang tersirat dalam pindaaan perlembagaan parti terutamanya memandangkan pemilihan parti yang dijadual berlangsung awal tahun depan.

Pudar

Sesetengah penganalisis percaya pengaruh Anwar dalam parti semakin pudar, justeru Anwar sedang menyediakan parti itu untuk mengharungi era selepas beliau.

Juga terdapat desas-desus yang parti itu sedang mempersiapkan anak perempuannya Nurul Izzah yang juga naib presiden parti dan Ahli Parlimen Lembah Pantai untuk memainkan peranan yang lebih besar.

“Bukan itu sahaja, ianya juga mungkin sebahagian daripada strategi kepimpinan tertinggi untuk memastikan mereka menerima sokongan peringkat akar umbi dengan memberi sedikit kuasa kepada peringkat bahagian dan cawangan.”

Bagaimanapun, Tan menyangkal tanggapan itu sambil menjelaskan sejak beberapa tahun lepas, PKR telah membuat pelbagai perubahan secara berterusan dalam usaha pembaikan berdasarkan maklumat balas daripada akar umbi dan tidak ada kaitan dengan agenda peribadi.

“Parti ini telah melalui tiga pindaan dalam tempoh 14 tahun, masing-masing pada 1999, 2003 dan 2009.

“Sebagai contoh, pindaan kepada perlembagaan parti pada 2009 adalah untuk memperkenalkan pemilihan secara langsung bagi jawatan kepimpinan bahagian dan pusat selain mesti ada sekurang-kurangnya 30 peratus perwakilan wanita dalam semua peringkat kepimpinan parti.

“Hakikatnya, jika diambil kira semua parti politik di Malaysia, parti kami adalah yang pertama memperkenalkan sistem pemilihan secara langsung,” jelas Tan.

Imej

Bagaimanapun, di sebalik usaha gigih parti untuk menonjolkan imej barunya, parti itu masih dikawal oleh Anwar dan keluarganya.

Isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah adalah presiden parti, anak perempuannya Nurul Izzah adalah seorang daripada naib presiden parti sementara Anwar sendiri adalah ketua defacto parti di samping ketua pembangkang di Dewan Rakyat.

Pensyarah Universiti Sains Malaysia, Dr Sivamurugan Pandian yang juga seorang pemerhati politik menjelaskan adalah penting untuk PKR menunjukkan bahawa “parti itu bukan lagi tentang Anwar” dengan melakukan perubahan yang lebih ketara dan mantap.

Sehingga keadaan itu wujud, Anwar dan keluarganya akan dilihat sebagai pihak yang menentukan segala-galanya untuk parti itu.

“Sekiranya mereka memutuskan untuk membuat perubahan yang lebih mantap dan bertenaga, perkara seterusnya siapa yang akan memainkan peranan Anwar selepas itu?

Oleh itu, bolehkah para perwakilan yang hadir di kongres parti Ahad ini menetapkan rentak untuk membentuk PKR yang lebih dinamik dengan perubahan-perubahan yang melampaui pindaan perlembagaan ini?

 



Comments
Loading...