PAS tolak Shafee sebagai Peguam Negara


Ia juga mahu Peguam Negara sekarang Tan Sri Abdul Gani Patail disiasat dan memberi penjelasan umum untuk menjawab dakwaan terhadap dirinya. 

K Pragalath, FMT

PAS membantah dengan keras sebarang rancangan untuk menjadikan peguam terkemuka Datuk Shafee Abdullah sebagai Peguam Negara.

Pada masa yang sama, ia turut mendesak agar Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail disiasat dan memberi penjelasan umum kepada rakyat berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa.

Timbalan Pengerusi II  Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia PAS, Ahmad Zamri Asaad Khuzaimi dalam satu kenyataan berkata usaha ini dibuat oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau mengibaratkan Mahathir sebagai jarum yang menyucuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menggantikan Gani dengan Shafee.

“Hubungan dan kaitan rapat beliau dengan pemimpin-pemimpin UMNO menjadikan Shafee tidak sesuai untuk menjawat jawatan penting dan strategik seperti Peguam Negara,” kata Ahmad.

Kenyataan Ahmad timbul ekoran beberapa perkembangan mutakhir.

Pada Nov 1, bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial menyaman Gani, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan 10 orang lain atas alasan bahawa Gani telah menyalahgunakan kuasa dan mendakwa dirinya dengan niat jahat enam tahun lalu.

Pada Nov 7, sebuah laman portal berita melaporkan bahawa Mahathir mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Sri Ahmad Zahid Hamidi ekoran dakwaan bahawa Gani mengupah dua perisik CIA untuk bekerja di Jabatan Peguam Negara.

Sebelum itu, Mahathir berjumpa dengan bekas setiausaha politiknya Matthias Chang, bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Mat Zain Ibrahim, Shafee dan Ramli untuk membincangkan kes salah guna kuasa Gani.

Ini termasuk pemalsuan bukti kes mata lebam (Ketua Pembangkang sekarang) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998, pemalsuan gambar dalam kes tuntutan Pulau Batu Putih, dan kes PKFZ membabitkan bekas pemimpin MCA, Tun Dr Ling Liong Sik.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...