Azmin nafi, mahu jumpa Khalid lagi esok
Memang tidak ada kemelut dan tidak ada usaha menukar Menteri Besar. (Dakwaan) ini bukan benda baru bagi Azmin.
Jamilah Kamarudin, FMT
Timbalan Presiden PKR Azmin Ali menafikan wujud cubaan untuk menjatuhkan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan mahu mengambil alih kepimpinan pentadbiran negeri itu.
Beliau turut menafikan kewujudan desakan terbabit dalam memorandum yang ditandatangani pemimpin PAS Selangor Dr Rani Othman dan Pengerusi DAP Selangor Lau Weng San kepada Abdul Khalid minggu lalu.
“Memang tidak ada kemelut dan tidak ada usaha menukar Menteri Besar. (Dakwaan) ini bukan benda baru bagi saya,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Menjawab mengenai memorandum itu, Azmin berkata sudah tiba masanya Abdul Khalid mendengar keluhan dan pandangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) lain demi pembangunan Selangor.
Antara isu kritikal yang dibangkitkan termasuklah tender lesen kutipan sampah, pendidikan, rumah mampu milik, dan masalah banjir yang dibincang secara rundingan meja bulat selama empat jam.
“Peranan ADUN mungkin ada keluhan mereka tak didengari, jadi saya minta pandangan itu didengarlah.
“Ini penggal kedua pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor sudah tentu tanggungjawab kerajaan laksanakan program pembangunan untuk rakyat.
“Kalau penggal pertama kita ambil jalan singkat salahkan kerajaan terdahulu (BN) dan bebankan pentadbiran Umno yang tak telus, saya berpandangan penggal kedua ini kita tak boleh nak salahkan Umno lagi.
“Penggal ini adalah penggal kerja yang harus kita laksanakan,” tegasnya.