Pak Samad kesal sikap ‘sasterawan bisu’


Pesatuan penulis memilih untuk tidak bersuara dalam isu melibatkan Sasterawan Negara.

Antara persoalan yang timbul adalah apakah semangat perjuangan dalam kalangan sasterawan dan wartawan sudah hilang. Atau ada faktor lain yang menyebabkan mereka hanya berani “berjuang dengan mata” – iaitu melihat sahaja apa-apa yang berlaku tanpa berani bertindak.

Uthaya Sankar SB, FMT

Kalau kita lihat sebelum negara diberikan kemerdekaan oleh British, golongan penulis, sasterawan dan wartawan berjuang dengan mata pena bagi menuntut keadilan dan sekali gus menentang kezaliman.

Malangnya, apabila diperhatikan perkembangan pada masa kini, golongan penulis dan sasterawan seolah-olah memilih untuk berdiam diri walaupun ketidak adilan dan kezaliman berlaku di depan mata.

Lebih menghairankan apabila mangsa kezaliman itu adalah rakan seperjuangan iaitu golongan penulis sendiri.

Sayangnya, mangsa (sasterawan) tidak menerima sokongan daripada rakan-rakan penulis dan persatuan-persatuan yang kononnya mewakili golongan penulis.

Demikian antara topik yang dibincangkan dalam sesi “Dialog Sastera Bersama Pak Samad” di Bangsar Utama, Kuala Lumpur pada 11 September 2013.

Dalam hal ini, Datuk A Samad Said (Pak Samad) menyatakan dengan sinis, “Mereka bukan tidak berjuang. Mereka berjuang dengan mata mereka sahaja.”

Antara persoalan yang timbul adalah apakah semangat perjuangan dalam kalangan sasterawan dan wartawan sudah hilang. Atau ada faktor lain yang menyebabkan mereka hanya berani “berjuang dengan mata” – iaitu melihat sahaja apa-apa yang berlaku tanpa berani bertindak.

“Saya fikir ada sebilangan yang mahu bersuara tetapi ada ketakutan,” kata Pak Samad semasa dialog eksklusif yang turut dihadiri oleh dua Jawatankuasa Khas Kavyan, Shahrul Nizam Abd Hamid dan Rayner Sylvester Yeo.

Pak Samad mengakui bahawa beliau berasa amat aneh kerana dalam suasana seorang sasterawan – juga Sasterawan Negara (SN) – sedang didesak, ditohmah dan dipersalahkan tetapi persatuan-persatuan penulis memilih untuk berdiam diri.

“Seolah-olah keseluruhan isu ini hanya melibatkan seorang individu sahaja. Mereka mesti ingat bahawa golongan penulis dan persatuan penulis sepatutnya berani untuk bersuara; bukan berdiam dalam isu penting seperti ini.

Persatuan penulis yang penakut, hilang taring

“Kalau tidak menyokong saya tetapi menyokong kerajaan pun tidak jadi hal. Sekurang-kurangnya menyatakan pendirian dengan berani; bukan berdiam diri,” kata Pak Samad dalam pertemuan yang turut dihadiri anaknya, Helmy Samad, yang menguruskan Wira Bukit Sdn Bhd.

Sekiranya dilihat dalam kontroversi melibatkan SN Datuk Abdullah Hussain (Pak Lah) pada awal 2011, banyak persatuan penulis yang tampil bersuara dan menyatakan pendirian.

Malah, agak menarik apabila persatuan penulis menegaskan bahawa sebarang tuduhan atau kritikan ke atas Pak Lah adalah sama seperti menghina Yang di-Pertuan Agong kerana Anugerah Sastera Negara (ASN) yang membawa gelaran SN diberikan oleh baginda.

Sekitar dua setengah tahun kemudian, apabila seorang lagi SN – yang juga “Sasterawan Rakyat” – dihina, diperlekeh dan diperlakukan secara yang amat tidak wajar oleh golongan politikus dan puak ultra kiasu, persatuan-persatuan penulis memilih untuk membisu.

“Mungkin juga kelompok itu sebenarnya ada sikap dan pendirian tetapi mereka tidak mahu bersuara. Hal ini memberikan gambaran seolah-olah golongan penulis di negara ini mula takut; sudah hilang taring.

“Atau pun golongan penulis memang menjadi penyokong tegar dan total terhadap kerajaan dalam apa-apa tindakan yang dibuat oleh kerajaan,” Pak Samad mengulas.

Sasterawan itu yang lahir di Singapura pada 8 Februari 1932 (mengikut maklumat dalam MyKad) menyatakan bahawa beliau tidak berasa terluka hati jika persatuan penulis memilih untuk menyokong penguasa secara seratus peratus.

“Asalkan mereka berani bercakap dan bersuara menyatakan pendirian,” katanya sambil menambah bahawa peristiwa ditahan polis baru-baru ini tidak sedikit pun mematahkan semangat juangnya.

Ditanya mengenai kelompok penulis muda pula, Pak Samad berkata, mereka “bercakap” dan “bersuara lantang” menerusi internet dan ruang siber.

“Malah, apabila saya ditahan polis pada tengah malam (3 September 2013), mereka datang dalam jumlah hampir 200 orang, membawa lilin, berkumpul di luar balai polis, bersedia untuk menyatakan sikap,” sasterawan berjiwa rakyat itu menceritakan.

Pujuk Pak Samad tinggalkan Kavyan

Pada penelitian Pak Samad yang juga Penasihat Agung Kavyan, oleh kerana kelompok penulis muda itu tidak mempunyai organisasi yang kukuh, maka suara mereka mungkin tidak lantang kedengaran; khususnya kepada kerajaan dan politikus.

Umum mengetahui bahawa puak rasis, pentaksub, fanatik dan etnosentrik yang diterajui Ibrahim Ali dan sekutunya mendesak gelaran SN yang dianugerahkan kepada Pak Samad oleh Yang di-Pertuan Agong pada 1985 ditarik balik.

SN Datuk Baharuddin Zainal (Baha Zain) tampil menyatakan sikap tidak bersetuju dengan cadangan Perkasa yang tidak rasional itu.

Bagaimana pula dengan para SN lain? Khususnya mereka yang pernah mengeluarkan kenyataan bersama dalam kontroversi melibatkan Pak Lah dan novel Interlok: Edisi Murid pada 2011?

“Pertanyaan itu memang ditanya kepada saya oleh rakan-rakan dan wartawan. Saya nyatakan bahawa bagi saya, saya tidak mengiktiraf Perkasa dan seumpamanya. Saya anggap Perkasa dan satu lagi gagasan penulis yang bergabung dengannya sebagai runner (macai atau juak-juak) sahaja kepada pihak tertentu,” kata Pak Samad.

Pengarang novel Salina itu mengakui bahawa beliau memahami jika rakan-rakan penulis dan sasterawan tertentu hanya menghubungi beliau secara peribadi untuk menyatakan sokongan.

Hal ini kerana mereka perlu memikirkan soal pekerjaan mereka; khususnya jika bekerja secara langsung dengan kerajaan atau mereka mendapat manfaat tertentu secara tidak langsung daripada pemerintah.

“Apa yang saya tidak faham adalah berkenaan persatuan-persatuan penulis yang merupakan NGO,” kata Pak Samad dengan nada kesal.

Semasa berucap pada acara “Baca Cerpen Kavyan: Sedekad Kemudian” (1 September 2013) di Galeri Shah Alam, Pak Samad mendedahkan bahawa ada wakil persatuan tertentu yang menghubungi beliau berkali-kali dan “memujuk” supaya tidak menjadi Penasihat Agung Kavyan.

Malangnya, persatuan berkenaan tidak pula menghubungi Pak Samad untuk menyatakan sokongan pada saat sasterawan ini berdepan dengan pelbagai kritikan, cemuhan dan tohmahan daripada politikus dan pencacai.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...