Anwar lebih disanjung jika terus melawan


Shahbudin Husin, TMI

Sehingga kini dialog PR dengan BN yang diusulkan Anwar Ibrahim masih lagi menjadi misteri. Misteri dalam erti kata sama ada ia sekadar dialog untuk kepentingan rakyat dan negara atau dialog itu petanda awal ke arah kerjasama dan penyatuan antara Najib dan Anwar. Hanya Anwar yang tahu apa isi hatinya yang sebenar.

Sementara tawaran Anwar itu disambut dingin kebanyakan pemimpin Umno dengan ada yang mempertikaikan niat dan tujuannya manakala ada pula yang mahu cadangan dialog itu dibawa ke Parlimen, Najib sehingga ini masih lagi berdiam diri mengenainya.

Anwar pula, sebagaimana pendirian awalnya, kekal bahawa dialog itu semata-mata membincangkan isu kepentingan rakyat dan negara seperti mengenai agama, kaum, keselamatan dan ekonomi serta menolak sama-sekali menjurus ke arah penubuhan kerajaan perpaduan.

Namun pendirian kebanyakan pemimpin Umno yang menolak tawaran Anwar itu menampakkan kebimbangan mereka terhadap kerjasama Najib dengan Anwar dan juga penubuhan kerajaan perpaduan yang mungkin akan terlaksana kiranya dialog itu menjadi kenyataan.

Di pihak Pas dan DAP pula, mereka juga nampaknya tidak memberi respon dan keghairahan terhadap tawaran dialog yang diusulkan Anwar itu. Pimpinan kedua-dua parti itu belum lagi memberi sebarang kenyataan atau ulasan, baik mengalu-alukan atau pun menolak cadangan Anwar itu walaupun ia dibuat atas nama Pakatan Rakyat.

Mungkin Pas dan DAP mahu berhati-hati dan tidak mahu terjebak dalam percaturan yang masih belum diketahui siapa untung dan siapa ruginya ini.

Tetapi usul atau tawaran yang dibuat Anwar kepada Najib ini, walaupun atas nama menyuburkan amalan demokrasi dan demi kepentingan rakyat dan negara, ia sedikit-sebanyak mencalarkan keteguhan perjuangan Anwar selama ini dan membuatkan ramai orang mulai curiga terhadapnya.

Sesudah 15 tahun melakar tanda aras baru dalam politik Malaysia sejak dipecat pada 2 September 1998, terutama dengan merangsang kebangkitan anak muda serta menimbulkan kesedaran mengenai pelbagai aspek dalam kepimpinan dan kenegaraan, ramai yang mengharapkan Anwar tidak cepat mengalah dan meneruskan apa yang diasaskannya itu.

Slogan reformasi, perubahan, lawan tetap lawan dan sebagainya yang sering menjadi basahan bibir Anwar selama ini sebenarnya masih diperlukan lagi.

Walaupun usaha menubuhkan kerajaan masih belum berhasil tetapi dengan peningkatan kejayaan PR yang jelas ketara sejak 2008 manakala dalam pilihanraya 2013 pula hanya kekurangan 23 kerusi tetapi berjaya mendapatkan majoriti hampir 52 peratus sokongan rakyat, masa depan Anwar dan PR dipercayai lebih cerah dalam pilihanraya empat atau lima tahun lagi.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...