Nazri Aziz mula jadi beban kepada Umno? – Shahbudin Husin
(TMI) – Tidak sampai dua hari, PM Najib terpaksa menukar pendiriannya berhubung tindakan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Nazri Aziz yang melantik anaknya sebagai pegawai khasnya di kementerian itu.
Jika semalam Najib menyatakan tidak menjadi salahnya Nazri berbuat demikian asalkan tidak melibatkan pembayaran gaji oleh kerajaan tetapi hari ini beliau mengubah kenyataannya itu dengan mengatakan ahli keluarga menteri hanya boleh diletakkan sebagai pembantu di kawasan Parlimen masing-masing dan bukannya di kementerian.
“Inilah prinsipnya, prinsipnya ahli keluarga tidak boleh diletakkan di pejabat menteri,” katanya.
Tindakan Nazri melantik anaknya sebagai pegawai khas telah mengundang keresahan orangramai, bukan saja kerana anaknya, Nedim itu terlibat dengan kontroversi sebelum ini, bahkan cara Nazri mempertahankan anaknya memperlihatkan keangkuhannya yang melampau.
Selain mengatakan anaknya tidak dibayar gaji oleh kerajaan, sebaliknya melalui duit poketnya sendiri, Nazri dengan nada sombongnya juga berkata, “ini kementerian saya, saya boleh boleh lantik sesiapa saja.”
Dalam hal ini Nazri barangkali terlupa bahawa kementerian bukanlah milik individu. Kementerian bukan seperti syarikat sendirian berhad. Kementerian adalah milik kerajaan dan menteri duduk di situ hanyalah atas ehsan Perdana Menteri melantiknya setelah beliau dipilih sebagai wakil rakyat.
Hanya setelah menjadi wakil rakyat atau dewan negara, barulah seseorang itu boleh dilantik sebagai menteri. Ini menjadikan seseorang menteri sebenarnya sentiasa terikat kepada sokongan dan undi rakyat.
Selagi rakyat menyokongnya, dapatlah jadi menteri tetapi setelah tidak lagi mendapat sokongan rakyat, kedudukan menteri terpaksa dilepaskan dan kementerian juga kena ditinggalkan.
Jadi, janganlah sombong dan bongkak sangat kerana dapat jadi menteri seolah-olah boleh melakukan apa saja.
Ingatlah bahawa menjadi menteri adalah atas pertanggungjawaban bersama sebagai sebuah kerajaan setelah diberi mandat oleh rakyat. Jika menteri bersikap sombong dan angkuh, parti dan kerajaan yang akan menerima kesan penolakan daripada rakyat.
Oleh sebab itu, menjadi seorang pemimpin dan menteri haruslah menjauhi sikap sombong dan angkuh bagi memastikan sokongan rakyat berterusan.
Pemimpin yang bersikap sombong, angkuh dan enggan menerima teguran adalah beban kepada parti dan kerajan.
Tindakan Najib yang terpaksa mengubah pendirian dan menjadi flip-flop berhubung keputusan Nazri melantik anaknya itu, walaupun mengundang persepsi yang berbagai mengenai kefahaman Perdana Menteri sendiri berhubung perlantikan ahli keluarga oleh seseorang menteri, tetapi secara nyata menunjukkan bahawa apa yang dilakukan Nazri itu adalah salah.
Cumanya, mungkin atas sebab-sebab tertentu dan hubungan peribadi yang agak lama, Najib segan memberitahu secara terus-terang agar Nazri mengeluarkan anaknya daripada kementerian itu.
Dengan meletakkan anaknya duduk di kementerian, walaupun gajinya dibayar oleh bapanya sendiri tetapi sudah tentu pelbagai kemudahan kerajaan akan turut digunakannya.
Lagi pula meletakkan anak dan ahli keluarga sendiri di di kementerian di mana bapanya menjadi menteri, turut juga mengundang persepsi yang tidak baik kepada rakyat dan kakitangan kementerian itu sendiri.
Rakyat akan melihat menteri mengamalkan nepotisme manakala kakitangan kementerian pula menjadi serba-salah dalam menjalankan tugasnya terutama jika ada permintaan yang melibatkan pemberian kontrak dan peluang perniagaan.
Read more at: http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/nazri-aziz-mula-jadi-beban-kepada-umno-shahbudin-husin