Bekas mufti Perlis – Boleh berkongsi tempat beribadat
(Astro Awani) – Menurut Dr Asri, tempat beribadat milik persendirian tidak boleh dianggap sebagai tempat awam dan tempat itu boleh ditukar pada bila-bila masa mengikut pemilik itu sendiri.
Penganut ajaran agama dibenarkan berkongsi tempat yang sama untuk beribadat selagi lokasi tersebut tidak diwartakan untuk ajaran agama tertentu.
Bekas mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, apabila tempat tersebut diisytiharkan sebagai masjid atau musalla, penganut agama lain tidak boleh beribadat tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu.
“Kecuali pihak kerajaan mewartakan undang-undang yang menyatakan sesebuah lokasi yang digunakan, sebagai contoh, tempat untuk umat Islam beribadat, tidak boleh ditukar menjadi tempat beribadat agama lain walaupun oleh pemilik tempat tersebut sendiri,” kata Dr Asri.
Menurut Dr Asri, tempat beribadat milik persendirian tidak boleh dianggap sebagai tempat awam dan tempat itu boleh ditukar pada bila-bila masa mengikut pemilik itu sendiri.
“Sebagai contoh, jika kita pergi ke rumah penganut agama bukan Islam dan pemilik rumah tersebut membenarkan kita bersolat, itu amat bagus. Tetapi jika tuan rumah tersebut tidak lagi membenarkan kita bersolat selepas itu, itu adalah hak mereka,” tambah beliau.
Mengulas kejadian sebuah surau di sebuah resort di Kota Tinggi yang digunakan penganut agama Buddha untuk bermeditasi, Dr Asri berkata rancangan untuk merobohkan surau itu ‘tidak masuk akal sama sekali’.
“Mengikut sejarah, banyak gereja ditukar menjadi masjid dan masih digunakan hingga ke hari ini serta Nabi Muhammad sendiri pernah membenarkan penganut agama Kristian dari Najran untuk beribadat di dalam masjid,” kata Dr Asri.
Beliau menambah sesuatu tempat itu tidak boleh dianggap sebagai surau untuk orang ramai jika ia dimiliki secara persendirian.