‘The awakening’: Mahathir tak sempat bergaduh dengan Abdullah sebelum dia jadi PM
Dr Mahathir menjadi Naib Presiden bersama Tengku Razaleigh yang menduduki kerusi ketiga tertinggi di dalam parti itu dua tahun sebelumnya. Seorang lagi tentulah Ghaffar Baba yang menjadi Naib Presiden sejak awal tahun 60-an lagi. Dr Mahathir mendapat kedudukan ketiga di kalangan ketiga-tiga Naib Presiden itu.
Aspan Alias, TMI
Dr Mahathir menjadi Naib Presiden Umno pada 1975 selepas beliau dipulihkan oleh Tun Razak keahliannya dalam Umno, kalau tidak silap saya pada 1972 atau 1973 selepas dipecat dari Umno pada 1969. Ada pihak dalam Umno itu sendiri menyokong kemasukan Dr Mahathir kembali dalam Umno tetapi apabila beliau mengemukakan borang untuk menyertai Umno kembali, beliau memilih untuk menyertainya di Rawang kerana di Kedah tidak begitu ramai yang berminat untuk membawa beliau dalam Umno.
Semasa itu di Rawang, Tunku Abdullah Tuanku Abdul Rahman adalah Ahli Parlimen bagi kawasan itu, dan juga sahabat Dr Mahathir yang rapat. Maka mudah bagi beliau untuk mendapatkan sokongan untuk kembali dalam Umno. Itu sebabnya Dr Mahathir kembali kepada Umno melalui Umno Rawang dan hanya kembali ke Kedah selepas kedudukannya dalam Umno pulih.
Dr Mahathir menjadi Naib Presiden bersama Tengku Razaleigh yang menduduki kerusi ketiga tertinggi di dalam parti itu dua tahun sebelumnya. Seorang lagi tentulah Ghaffar Baba yang menjadi Naib Presiden sejak awal tahun 60-an lagi. Dr Mahathir mendapat kedudukan ketiga di kalangan ketiga-tiga Naib Presiden itu.
Semasa itu Abdullah Badawi belum lagi berada di mana-mana dalam Umno kerana beliau masih menjadi Ketua Pengarah Belia dan selepas itu menjadi Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan. Abdullah hanya keluar dari perkhidmatan kerajaan untuk menyertai Pilihanraya 1978 dahulu untuk menggantikan Nordin Sophie bagi kawasan Kepala Batas.
Musa Hitam hanya menjadi Naib Presiden pada 1978. Anwar Ibrahim semasa itu masih tidak terfikir oleh sesiapa dalam Umno, hanya beliau diingat sebagai bekas pemimpin pelajar dan seorang yang begitu rapat dengan PAS kerana kedudukan beliau sebagai Presiden Angkatan Belia Islam (ABIM) semasa itu.
Anwar hanya menyertai Umno pada Februari 1982 dan belum pun kering tandatangan keahliannya dalam Umno beliau menumbangkan Suhaimi Kamarudin sebagai Ketua Pemuda Umno Malaysia, dengan sokongan Dr Mahathir.
Seperti yang saya selalu sebutkan semasa Dr Mahathir mendekati kerusi Perdana Menteri, iaitu semasa beliau dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri, beliau tidak mempunyai ‘grassroot’ yang kukuh. Seperti biasa orang paling dikhuatiri berada di sisinya ialah Tengku Razaleigh Hamzah. Malahan Mahathir begitu tidak seronok melihat Tengku Razaleigh seolah-olah seorang defacto ‘Prime Minister’ kerana Perdana Menteri Tun Razak dan Hussein memberikan tanggungjawab besar kepada Tengku Razaleigh.
Saat untuk menyekat kemaraan Tengku Razaleigh tiba apabila beliau mengambil alih jawatan Presiden Umno pada 1981 di perhimpunan yang sama berlaku pertandingan jawatan Timbalan Presiden antara Musa dengan Tengku Razaleigh. Musa yang dalam diam-diam juga berminat untuk menaiki takhta kuasa, diambil kesempatan oleh Mahathir dan melagakan Musa dengan Tengku Razaleigh sehingga berlaku pertandingan sengit antara kedua-dua Naib Presiden Umno itu untuk jawatan Timbalan Presiden.
Mahathir berada belakang Tengku Razaleigh semata-mata untuk menyekatnya menaiki kuasa. Sesungguhnya Mahathir juga waktu sama, Musa juga mempunyai minat yang kuat untuk menjadi Perdana Menteri. Maka Mahathir menjadikan Tengku Razaleigh dengan Musa mempunyai kekuatan seimbang bagi mengelakkan tentangan dari salah seorang daripada kepimpinan yang dibentuk untuk negara oleh Tunku dan Tun Razak.
Apabila Musa sedar apa yang ada dalam benak Mahathir itu dan datang pula pelbagai cabaran untuk menyekat kemaraan Musa, maka Musa meninggalkan jawatan Timbalan Perdana Menteri pada awal 1986. Peletakan jawatan Timbalan Perdana Menteri itu menjadikan Umno kelam kabut dan rombong selepas rombongan terdiri dari Menteri-Menteri serta Timbalan-Timbalan Menteri serta Menteri Besar berduyun ke London memujuk Musa menarik balik keputusannya untuk meletakkan jawatan itu.
Tunku Abdul Rahman bersuara dalam persaraannya dan menyatakan persaraan Musa Hitam itu sepatutnya di iringi satu Perwakilan Khas Umno untuk berbincang dan membuat ketetapan. Di sini Mahathir tahu jika Perhimpunan Agung Khas itu dipanggil maka Musa akan mendapat ‘endorsement’ yang kuat dan tidak terkejut jika Musa kembali dan membuatkan dirinya menjadi kuat selepas perhimpunan Agung Khas itu.
Mahathir tidak peduli dan terus memberi kenyataan yang peletakan jawatan Musa itu diterima dan menutup isu Perhimpunan Agung Khas itu sama sekali. Memanggil Perhimpunan Agung Khas Umno akan membuatkan Musa kuat dan dengan senang sahaja Musa boleh mengambil alih kepimpinan negara dari Mahathir.