Anwar jumpa SBY hari ini


Sinar Harian – Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini berada di Bali untuk bertemu Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono. “Saya di Bali bersama Presiden SBY,” katanya ringkas melalui media sosial Twitternya, pagi tadi.

Sebelum ini, The Malaysian Insider melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Anwar akan berada di Jakarta hari ini, terdapat kemungkinan diadakan pertemuan yang mungkin akan membantu perdana menteri mengelakkan persaingan di Parlimen dan partinya sendiri selepas keputusan buruk PRU13.

Laporan itu juga menyebut pertemuan itu telah cuba diaturkan semenjak sekurang-kurangnya seminggu lalu, ketika Najib hampir pasti dicabar dalam pemilihan Umno tahun ini dan berkemungkinan akan berhadapan dengan usul undi tidak percaya selepas Parlimen mula bersidang pada 24 Jun.

Difahamkan, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang rapat dengan kedua-dua pemimpin, telah ditugaskan untuk mengaturkan pertemuan tersebut.

Beliau kini berada di Jakarta untuk lawatan dua hala.

“Pertemuan telah diaturkan dengan Najib sebelum Anwar berjumpa Presiden Indonesia pada Sabtu,” kata sumber kepada The Malaysian Insider.

Pembantu bagi kedua-dua pemimpin tidak mahu bercakap mengenai pertemuan tersebut akan tetapi sumber mengatakan kedua-duanya mempunyai kepentingan bersama untuk mengelakkan pencabar lain untuk jawatan perdana menteri.

Sementara itu, bulan lalu Bernama melaporkan kenyataan bekas menteri undang-undang dan hak asasi manusia Indonesia, Hamid Awaludin yang menjadi saksi pertemuan kedua-dua pemimpin itu.

Beliau mendakwa Anwar telah meminta satu perjanjian diadakan untuk memastikan Najib menyerahkan kuasa sekiranya PR memenangi PRU13.

Hamid berkata, “oleh kerana tidak terdapat sebarang perkara yang boleh membatalkan perjanjian itu, yang dibuat menjelang PRU13 atau pada hari pengundian, maka perjanjian berkenaan terus terpakai”.

Bagaimanapun, “keadaan berubah apabila Najib diisytihar sebagai pemenang” katanya sambil menjelaskan bahawa Anwar meminta perjanjian itu diadakan kerana beliau “yakin akan mencapai kemenangan pada pilihan raya itu berdasarkan hasil pungutan pendapat yang sering menyebelahinya dan jumlah hadirin pada majlis ceramah anjuran PR”.
   
Hamid, yang pernah berkhidmat sebagai duta besar Indonesia ke Rusia dan Belarus dari 2008 hingga 2011, memberitahu Bernama beliau turut hadir pada perbincangan yang diadakan antara bekas naib presiden Indonesia Jusuf Kalla dengan Anwar dan Najib.
   
“Jusuf Kalla sekadar memenuhi permintaan Anwar supaya beliau menjadi orang tengah.

“Bukan beliau (Jusuf) yang mengambil daya usaha agar perjanjian itu diadakan atau pergi berjumpa Anwar,” katanya.

Laporan media baru-baru ini menyebut Anwar menafikan beliau memungkiri perjanjian damai yang diatur Jusuf dan mendakwa bekas naib presiden Indonesia itu menemuinya untuk menawarkan bantuan bagi memastikan urusan selepas PRU13 berjalan secara teratur.
    
Bagaimanapun, satu laporan lain pula menyebut Anwar mengaku beliau ada membuat perjanjian dengan Najib, yang menyaksikan Jusuf sebagai orang tengahnya, tetapi mendakwa BN menjadikan perjanjian itu terbatal berikutan cara parti gabungan itu melancarkan kempennya.
 
Dalam pada itu, Tengku Razaleigh Hamzah dilaporkan telah bertemu dengan ahli-ahli Parlimen BN untuk berbincang mengenai percubaan beliau mengambil alih kepimpinan dalam Dewan Rakyat yang mempunyai 222 kerusi sementara timbalan Najib, Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin menjadi pencabarnya dalam pemilihan Umno hujung tahun ini.

 



Comments
Loading...