Apa lagi kaum India dalam PKR mahu?


Uthaya Sankar SB, TMI

Salah satu “keunikan” yang sering dipromosikan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) khasnya — dan Pakatan Rakyat (PR) amnya — adalah tentang ahli pelbagai kaum serta penolakan terhadap sentimen perkauman dalam parti politik berkenaan.

Pada 31 Mei 2013, saya sedang minum bersama-sama seorang rakan di sebuah restoran di Taman Sri Muda, Shah Alam dan berpeluang mendengar (baca: mendengar tanpa masuk campur) perbualan sekumpulan ahli PKR.

Untuk berlaku adil dan objektif serta tidak menjatuhkan hukuman terhadap sesiapa, saya paparkan intipati perbualan mereka berdasarkan catatan yang saya buat semasa sesi minum teh itu.

Kumpulan berkenaan ternyata tidak berpuas hati kerana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar Arulanandam “tercicir” daripada senarai Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (Exco) yang diumumkan sehari sebelum itu.

Umum mengetahui bahawa sebelum ini memang ada kempen besar-besaran oleh sekumpulan “orang dalam” yang tidak mahu Ketua Cabang PKR Kota Raja dan Ahli Biro Politik PKR itu memegang jawatan Exco bagi penggal kedua.

Menurut laporan media (15 Mei), kempen itu diterajui Dr S. Streram (Petaling Jaya Selatan), P. Maniam (Hulu Selangor), S. Murali (Puchong), Anthony Dass (Kota Raja), P. Krishnasamy (Klang), Dr Neduchelian (Kapar), M. Jayabalan (Lembah Pantai), S. Balan (Subang) dan P. Thiagarajan (OMS).

Sekumpulan penyokong tegar Xavier yang saya temui di restoran itu pula ternyata mempersoalkan mengapa Naib Presiden PKR, N. Surendran dan Ahli Biro Politik PKR, Sivarasa K. Rasiah yang juga Ahli Parlimen Subang berdiam diri apabila Xavier tidak dilantik sebagai Exco.

Mereka turut mempersoalkan mengapa tidak ada Exco kaum India dari PKR. Saya begitu teringin untuk masuk campur dan bertanya berapa ramaikah sebenarnya ADUN kaum India daripada PKR di Selangor. Bagaimanapun saya memilih untuk berdiam diri sahaja dan terus mengikuti perbualan mereka yang amat rancak dan bertenaga.

“Punca utama semua ini berlaku adalah kerana perpecahan dalam kalangan kaum India dalam PKR. Ada kumpulan yang terang-terangan tidak mahu Xavier jadi Exco. Hujah pihak tertentu bahawa pemilihan Exco dibuat berdasarkan formula 6:4 yang dikemukakan oleh Sultan Selangor hanyalah alasan untuk menutup hakikat sebenar,” kata seorang peserta dalam perbincangan itu.

Perbualan mereka terus melompat sebentar kepada isu pelantikan pengerusi Persatuan Hindraf Malaysia (Hindraf), P. Waythamoorthy sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Mereka berhujah bahawa seorang “pengkhianat bangsa dan negara” dilantik oleh Perdana Menteri dan pelantikan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Bayangkan kalau PR telah menang majoriti dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dan Anwar Ibrahim bakal jadi Perdana Menteri. Kalau Agong tidak mahu perkenan, apa yang akan berlaku? Tapi sekarang, dalam isu Xavier, dengan mudah sahaja orang beri alasan bahawa ia ada kaitan dengan Sultan Selangor,” kata seorang pemuda.

Kumpulan yang rancak berbual sambil makan dan minum di restoran itu berulang kali menyebut nama Surendran dan Sivarasa. Memang kedengaran amat sinis apabila mereka berhujah bahawa kedua-dua peguam itu tiba-tiba sibuk setiap kali ada pemuda kaum India mati di dalam lokap tetapi hanya membisu dalam isu Xavier tidak dilantik menjadi Exco.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...