Mengambil Ikhtibar Daripada Pilihanraya Umum 13
Tidak dapat dinafikan bahawa kaum Cina yang paling kukuh kedudukannya di peringkat atasan dan pertengahan dalam hierarki ekonomi negara. Pengamalan budaya dan bahasa Cina yang disokong oleh sistem pendidikan Cina, berleluasa di negara ini —- suatu fenomena yang tidak wujud di mana-mana negara lain di luar Republik Cina dan Taiwan. Jelas bahawa kaum Cina tidak dianaktirikan dan bukan warga kelas dua.
Chandra Muzaffar
Situasi selepas Pilihanraya Umum (PRU) 13 berbeza daripada dua belas pilihanraya sebelum ini atas satu sebab. Perhimpunan diadakan di beberapa tempat di Semenanjung untuk menentang keputusan PRU 13 kerana kononnya “ penipuan besar-besaran dilakukan” oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan Barisan Nasional.
Tuduhan
Setakat ini pemimpin-pemimpin pembangkang tertentu yang membuat tuduhan ini gagal mengemukakan sebarang bukti yang kukuh. Setiap tuduhan liar yang direka — dari 40,000 rakyat Bangladesh yang diterbangkan ke Malaysia sebagai “pengundi hantu” ke peristiwa “blackout” di Bentong — hanya mengesahkan bahawa kita berdepan dengan pembohong-pembohong bertaraf dunia.
SPR serta beberapa pakar undang-undang telah berulang kali menekankan bahawa sekiranya pembangkang memiliki bukti tentang penipuan di mana-mana kawasan pililihanraya, di peringkat negeri mahupun di peringkat parlimen, petisyen boleh dikemukakan di mahkamah seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia. Ini adalah saluran undang-undang yang digunapakai sejak pilihanraya umum pertama pada 1959.
Sekiranya ada cara tertib berdasarkan Perlembagaan untuk menyelesaikan isu-isu pilihanraya, kenapa sebahagian daripada pembangkang terus memprotes? Jelas bahawa protes merupakan agenda ketua mereka, Dato Seri Anwar Ibrahim, untuk mencapai cita-cita besar beliau iaitu, menjadi Perdana Menteri Malaysia. Beliau berharap bahawa siri perhimpunan akan menjejas kredibiliti kerajaan BN dan ini mungkin dapat memujuk beberapa ahli parlimen BN melompat masuk pakatan pembangkang. Kemerosotan kredibiliti BN juga mungkin mendorong lobi-lobi tertentu di negara-negara Barat seperti Amerika Syarikat (AS) memesatkan kempen mereka untuk menekan kerajaan Dato Sri Mohd Najib menyahut tuntutan-tuntutan Anwar tentang pilihanraya.
Tetapi, Anwar tidak akan mencapai matlamatnya. Majoriti rakyat Malaysia tahu bahawa keputusan PRU 13 adalah adil dan mencerminkan realiti sentimen dan kecenderungan politik kini. Pembangkang sebagai contoh telah memperolehi 89 kerusi parlimen — yang terbanyak dalam sejarah politik negara, selain daripada mengekalkan kuasa dalam tiga buah negeri dengan majoriti besar! Kerajaan-kerajaan Barat, termasuk kerajaan AS, menerima keputusan PRU 13 secara rasmi dan liputan dalam media Barat yang pro-Anwar pun sudah berkurangan.
Pendekatan kerajaan BN juga membantu BN menguasai keadaan. Polis tidak cuba menyuraikan perhimpunan-perhimpunan dengan gas pemedih mata dan sebagainya. Cuma beberapa aktivis didakwa kerana melanggar undang-undang tertentu.
Kerajaan BN yang dipilih secara demokratik harus terus memerintah secara normal. Kabinet peringkat pusat dan sepuluh buah negeri yang dikuasai BN harus melaksanakan dasar-dasar dan program-program mereka. Bertindak secara normal adalah respon yang paling sesuai terhadap mereka yang ghairah dengan perhimpunan dan demonstrasi.
Cabaran
Pada masa yang sama BN perlu memberi fokus kepada cabaran-cabaran yang masih belum diatasi. Kos hidup yang meningkat yang memberi dampak pada golongan yang kurang berada, terutamanya dikawasan bandar — sebahagian daripada mereka menolak BN dalam PRU 13 —- harus ditangani dengan langkah-langkah yang lebih berkesan. Pengawalan terhadap harga barangan; perumahan mampu milik oleh golongan kurang berada; penyediaan sistem pengangkutan awam yang cekap dan menyeluruh; dan struktur gaji yang adil, adalah antara perubahan-perubahan yang harus dilaksanakan melalui penyususan semula ekonomi.
Pembenterasan rasuah, yang juga merupakan isu besar dalam PRU 13, memerlukan iltizam yang lebih kuat dari kepimpinan politik. Dalam hubungan ini, cadangan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang pernah disyorkan oleh NGO-NGO sebelum ini, untuk melarang sanak-saudara ahli-ahli Kabinet, EXCO negeri atau pegawai-pegawai tinggi perkhidmatan awam daripada membidakan kontrak atau projek kerajaan semasa mereka memegang jawatan, harus dikuatkuasakan dengan serta-merta. Begitu juga, suatu mekanisma perlu dibentuk untuk mempertingkatkan akses masyarakat kepada aset dan liabiliti semua ahli Parlimen dan Dewan Undangan dan keluarga terdekat mereka, sepertimana terdapat dibeberapa negara yang lain.
Tahap insiden jenayah yang membimbangkan adalah satu lagi cabaran yang menghadapi kepimpinan BN dewasa ini. Dalam PRU 13, isu ini diperalatkan oleh pembangkang untuk menunjukkan pengundi bahawa BN gagal melindungi keselamatan khalayak ramai. Pendekatan yang lebih berkesan adalah pra-syarat untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap pemerintah.
Dalam suasana politik pasca PRU 13, BN juga memberi perhatian kepada struktur BN. Dalam keadaan dimana prestasi parti-parti Cina merosot sama sekali, kita faham kenapa pemimpin-pemimpin BN tertentu bertanya sama ada sudah tiba masanya untuk membubarkan semua parti komponen dan digantikan dengan satu parti tunggal. Ini adalah persoalan yang kompleks yang perlu dikaji secara mendalam.
Yang lebih penting dan lebih mencabar, adalah sikap dan nilai-nilai kepimpinan dan keahlian parti-parti komponen BN. Oleh kerana UMNO dan BN sudah berkuasa selama beberapa dasawarsa dan hidup dalam zon selesa, apakah semangat perjuangan, semangat pengorbanan pemimpin dan ahli mereka sudah luntur? Apakah ini ikhtibar daripada PRU 12 dan 13? Apakah benar BN kini lebih mengutamakan wang, kuasa dan kedudukan jika dibandingkan dengan Perikatan pada peringkat awal perjuanganya? Apakah penyakit materialisme ini yang merupakan tragedi BN yang sukar diubati?
Sentimen
Bagaimana pula dengan parti-parti pembangkang yang menggelarkan diri sebagai “pakatan rakyat” yang masih belum mewujudkan suatu gabungan yang mantap yang mempunyai struktur kepimpinan, simbol dan misi perjuangan yang sama khususnya dalam soal agama dan kaum? Sebenarnya, jurang ideologi yang membezakan PAS dan DAP amat ketara: PAS dengan idea negara Islamnya yang ditakrifkan melalui hudud dan DAP dengan fahaman ‘Malaysian Malaysianya’ yang meminggirkan sejarah dan latarbelakang politik negara ini. Dapatkah pemimpin dua parti ini mengurangkan jurang ini dalam tempoh lima tahun akan datang ini?
Cabaran yang jauh lebih serius yang berhadapan dengan ketiga-tiga parti pembangkang adalah keihklasan mereka dalam menbendung sentimen-sentimen politik tertentu yang akan memudaratkan negara kita sekiranya tindakan tidak diambil dari sekarang. DAP, sejak ditubuhkan pada 1966, mengeksploitasi sentimen marah dan kecewa di kalangan sebahagian besar daripada kaum Cina dan sebahagian daripada kaum India yang berhubungkait dengan kedudukan istimewa bangsa Melayu dan Bumiputra Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan Malaysia dan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Gambaran yang diberikan kepada bukan Melayu dan bukan Bumiputra adalah bahawa kerajaan menganugerahkan segala-galanya kepada Melayu dan Bumiputra manakala bukan Melayu dan bukan Bumiputra di anaktirikan dan dilayani sebagai ‘warga kelas dua.’
Keadaan sebenar ekonomi, budaya dan politik masyarakat kita jauh berbeza daripada persepsi yang dibentuk oleh DAP. Tidak dapat dinafikan bahawa kaum Cina yang paling kukuh kedudukannya di peringkat atasan dan pertengahan dalam hierarki ekonomi negara. Pengamalan budaya dan bahasa Cina yang disokong oleh sistem pendidikan Cina, berleluasa di negara ini —- suatu fenomena yang tidak wujud di mana-mana negara lain di luar Republik Cina dan Taiwan. Begitu juga, penglibatan kaum Cina dalam politik negara, jika dilihat dari segi sejarah politik Malaysia yang berakar umbi dalam sistem politik Melayu, adalah luar biasa. Jelas bahawa kaum Cina tidak dianaktirikan dan bukan warga kelas dua — walaupun dalam pelaksanaan kedudukan istimewa dan DEB, adakalanya bukan Melayu dan bukan Bumiputra yang layak gagal mendapat tempat di universiti atau biasiswa atau pun kontrak dan lisen perniagaan. Tetapi kes-kes khusus— ketidakadilan sedemikian rupa — tidak boleh dijadikan asas untuk membuat kesimpulan palsu bahawa kaum Cina pada keseluruhannya dianaiya!
Kesimpulan palsu inilah yang mengghairahkan hampir keseluruhan kaum Cina untuk mengakhiri apa yang disifatkan mereka sebagai dominasi Melayu/UMNO dan mencapai “kesamaan” dalam PRU 13. Ini yang dimaksudkan dengan “Ubah” — cogankata DAP dalam PRU 13. Oleh kerana DAP dan kaum Cina gagal ubah kerajaan, mereka harus merenungkan secara dalam tentang kedudukan mereka, sejarah dan konteks masyarakat berbilang kaum dinegara kita, dan masa depan hubungan kaum di Malaysia. Secara ikhlas, cuba memahami realiti ekonomi, budaya dan politik masyarakat kita dan bertindak dengan seimbang berdasarkan realiti ini. Ini adalah tanggungjawab besar pemimpin-pemimpin DAP, malah cendekiawan Cina amnya.
Sekiranya renungan ini tidak berlaku dan majoriti kaum Cina terus dipengaruhi oleh persepsi yang bertentangan dengan realiti, sudah tentu masyarakat Melayu akan menjadi lebih renggang daripada kaum Cina. Polarisasi kaum akan bertambah buruk. Polarisasi kaum yang diiringi oleh ketegangan kaum mengundang pada ketidakstabilan politik yang akan menjejaskan persekitaran ekonomi.
Sama seperti DAP, PAS juga harus membetulkan persepsi yang disebarluas di kalangan golongan muda Islam bahawa pendekatanya kepada Islam adalah Islam yang tulen yang merupakan mujarab kepada segala cabaran yang kita menghadapi di negara kita. Pendekatan PAS yang mempunyai ciri-ciri persamaan dengan beberapa negara-negara yang mengisytiharkan diri sebagai “negara Islam” serta pergerakan-pergerakan Islam di tempat-tempat lain, dipersoalkan oleh pemikir-pemikir Islam kerana lebih mementingkan kulit daripada isi agama. Itulah sebabnya negara-negara tersebut gagal memberi makna yang konkrit kepada keadilan sosial dan kemuliaan insan( termasuk kemuliaan wanita) yang menjadi cita-cita unggul Al-Quran al-Karim. Lagi pun, PAS perlu menyelami persoalan yang masih mencetuskan perbahasan tentang peranan sebuah parti Islam dalam masyarakat berbilang agama yang berfungsi dalam persekitaran politik abad 21.
Ini membawa kita kepada PKR. Parti ini juga dibawa oleh arus sentimen yang dangkal yang berkisar pada ketaksuban terhadap seorang individu. Sudah tentu ketaksuban sedemikian rupa bertentangan sama sekali dengan suasana abad 21. Ahli-ahli PKR harus membebaskan diri mereka daripada belenggu jumud ini.
Parti-parti pembangkang, sepertimana dengan BN, menghadapi banyak cabaran dalam landskap politik pasca PRU 13. Mereka harus ambil ikhtibar daripada cabaran-cabaran ini. Mereka yang belajar dan buat perubahan yang berkesan secara ikhlas akan berjaya — Insya’Allah.
Dr. Chandra Muzaffar adalah Pengerusi, Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia.