Pakatan Rakyat elok boikot Parlimen dan DUN-DUN seluruh negara


Aspan Alias

SPR hari ini mencabar Anwar dan Pakatan Rakyat untuk memboikot Parlimen jika benar-benar yakin ada penipuan dalam pilihanraya 13 yang baru lalu ini. Timbalan Pengerusi SPR Dato Wan Ahmad mencabar Anwar untuk memboikot Parlimen. SPR seterusnya mempersoalkan Pakatan Rakyat kenapa menerima keputusan yang memihak kepadanya (PR) di Selangor dan Pulau Pinang.

Cabaran SPR ini wajar di terima oleh Anwar kerana sememangnya tidak bermoral jika Anwar dan PKR menerima keputusan itu jika berkeyakinan ada penipuan besar dalam PRU yang lepas ini. Tetapi bagaimana pula penerimaan PR terhadap kemenangannya di Pulau Pinang dan Selangor? Kata Dato Wan Ahmad, mereka yang menyertai perhimpunan itu adalah orang yang sama yang menerima keputusan pilihanraya di P Pinang dan Selangor.
Adakah perlu Pakatan Rakyat menolak kemenangan di kedua-dua negeri itu kerana penipuan tentunya berlaku dalam negeri-negeri ini juga. Jika Anwar benar-benar jujur dengan tuduhan itu maka beliau sepatutnya memulakan ‘initiative’  untuk membubarkan Dewan-Dewan Undangan negeri P Pinang dan Selangor kerana berkeyakinan berlaku penipuan yang besar-besaran dalam pilihanraya yang lalu.
Kita tunggu reaksi Anwar terhadap cabaran SPR ini dan reaksi dari Anwar merupakan satu perkara yang sangat ‘interesting’ untuk disaksikan bersama-sama.
Bagi saya dan tidak kurang ramainya di bawah ini, bukan tidak bersetuju dengan ‘rally’ itu, tetapi perhimpunan itu elok dilakukan setelah Mahkamah memutuskan kesahihan ada berlakunya penipuan itu. Bukan sedikit jumlah orang yang akan turut bersama dalam perhimpunan itu jika benar SPR telah melakukan kecuaian dengan penipuan besar-besaran itu.
Tetapi jika Anwar tidak menerima cabaran untuk memboikot Parlimen dan menolak keputusan pilihanraya termasuk di Selangor dan P Pinang itu maka Anwar akan dipersoalkan keluhuran niatnya mengadakan perhimpunan-perhimpunan itu. Bukan tidak ada cara bagi sesiapa untuk memaksa SPR dibubarkan setelah didapati benar-benar penipuan itu dilakukan oleh badan yang menguruskan pilihanraya negara ini.
Tetapi biarlah penipuan itu disahkan oleh pihak Mahkamah dahulu. Apabila selesai semua kes yang dibawa ke Mahkamah itu barulah kita tahu dimana penipuan berlaku dan dimana penipuan tidak berlaku. Maka jika tidak terdapat penipuan itu di Pulau Pnang dan Selangor maka tidak payahlah mengadakan pilihanraya di kedua-dua negeri itu.
Tetapi jika Mahkamah pun tidak diyakini boleh memihak pada yang benar, maka Pakatan Rakyat yang ditunjangi oleh Anwar ini juga jangan menerima keputusan pilihanraya di negeri P Pinang dan Selangor itu.
Jika terbukti ada penipuan yang besar-besaran saya sendiri akan turun bersama-sama yang ramai untuk menyertai perhimpunan itu. Mungkin ramai yang akan menjawab hujah ini yang  Mahkamah pun tidak akan mengadili isu ini dengan adil, maka elok kemenangan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang dan Selangor juga wajar ditolak oleh Anwar.  Seperti tuduhan Anwar penipuan berlaku dimana-mana, maka tentulah ia juga berlaku di kedua-dua buah negeri yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat itu.
 
 


Comments
Loading...