Pembongkaran perjanjian rahsia tidak mengejutkan
Apabila Jusuff Kalla membuka segala rahsia dan perjanjian sulit itu, kedua-dua Anwar dan Najib menafikan tidak memenuhi janji.
Oleh Aspan Alias, FMT
Sekarang terbit isu baru tentang perundingan sulit di antara Perdana Menteri Najib Tun Razak dengan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim untuk menghormati keputusan pilihanraya yang ke 13 yang lalu.
Perundingan itu diatur oleh Jusuff Kalla, bekas Naib Presiden Indonesia yang telah berusaha mengadakan perjanjian di antara kedua-dua belah pihak.
Kedua-dua Najib dan Anwar bersetuju untuk menghormati keputusan pilihanraya itu, tetapi Jusuff mengatakan Anwar telah memungkiri janji beliau untuk menghormati keputusan pilihanraya yang telah diadakan pada 5 Mei lalu.
Begitulah politik di negara ini. Kedua-dua bergaduh, tetapi minta orang luar untuk mendamaikan dan membuat perjanjian senyap-senyap dan selepas itu tidak menghormati perjanjian. Itulah namanya ‘janji politik’. Cerita perjanjian ini tersiar di seluruh dunia. Tidak perlu kita marah kepada sesiapa di seluruh dunia sebabnya pihak di sini yang meminta orang luar dari negara ini untuk mengamankan kita.
Apabila bekas Naib Presiden Indonesia itu membuka segala rahsia dan perjanjian sulit itu, kedua-duanya menafikan tidak memenuhi janji.
Najib terus terang menuduh Anwar yang tidak memenuhi janji untuk menerima keputusan pilihanraya itu dengan bergerak beramai-ramai untuk berhimpun menentang keputusan pilihanraya itu.
Sebaliknya Anwar memberikan alasan yang beliau tidak dapat meneruskan perjanjian itu kerana Barisan Nasional (BN) telah mencuri kemenangan Pakatan Rakyat.
Jangan berjanji
Itu sebabnya jangan berjanji dengan seteru politik dan jika kita sudah lama melalui asam garam politik beberapa pimpinan kita, ia tidak pula susah untuk mencari sebab kenapa perjanjian ini berlaku dan kenapa ia dimungkiri.
Sebelum pilihanraya diadakan, pihak Pakatan yang ditunjangi oleh Anwar telah merasakan pihaknya akan berjaya menundukkan BN buat kali pertamanya dalam sejarah kemerdekaan negara. Tentulah Anwar mahukan pihak BN untuk menerima keputusan itu dengan baik dan jangan melakukan apa-apa tindakan yang tidak diingini.
Anwar pun telah membuat beberapa telahan apa yang akan berlaku jika Pakatan menang dalam pilihanraya itu termasuk melakukan perkara yang tidak diingini. Anwar begitu yakin Pakatan akan menang dan beliaulah akan menjadi Perdana Menteri. Najib pun menerima cadangan Anwar itu. Orang yang menjadi perantaraannya ialah Jusuf Kalla, bekas Naib Presiden Indonesia.
Tetapi apabila sangkaan Anwar yang Pakatan akan menang itu meleset, maka jelaslah yang cita-cita beliau untuk menjadi Perdana Menteri itu tidak kesampaian. ‘Confidence’ yang begitu tinggi untuk menang telah memberikan keputusan yang di luar jangkaan Anwar.
Rupa-rupanya BN tidak payah berbuat apa-apa lagi kerana telah memenangi mandat rakyat dan menang tipis dengan jumlah 133 kerusi, cukup untuk menubuhkan kerajaan minoriti sejurus selepas awal pagi 6 Mei yang lalu.
Sebenarnya Anwar sememangnya terlalu yakin yang pilihanraya kali ini akan menjadikan beliau Perdana Menteri. Anwar sudah mula memberikan amaran kepada banyak pihak yang beliau akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang telah melakukan kerja yang tidak baik jika menjadi Perdana Menteri.
Saya pun ada keyakinan kuat yang Anwar akan menjadi Perdana Menteri dan saya gembira kerana akhirnya demokrasi di negara ini mampu menukar kerajaan.
Tetapi saya, sebagai orang Melayu, tambahan pula orang yang terdidik di kampung yang terpencil, saya merasakan ada yang tidak kena sedang berlaku di kalangan pihak Pakatan sendiri.
Terlalu yakin
Saya merasakan pihak Pakatan telah terlalu ‘over confident’ dan saya merasakan perasaan yakin yang keterlaluan itu akan memusnahkan harapan pihak Pakatan.
Lantas saya menulis dengan memperingatkan pihak Pakatan Rakyat supaya ‘jangan membuangkan air di dalam tempayan semata-mata terdengar guruh di langit’.
Saya juga mengingatkan sesiapa yang berkenaan, ‘burung yang terbang jangan dipipiskan lada’ dan ‘duduk dahulu sebelum berlunjur’ dan berbagai-bagai lagi.
Justeru apabila apa yang dijangka itu tidak menjadi maka berlakulah tuduhan dari Pakatan yang BN telah melakukan penipuan. Anwar terus mengadakan perhimpunan mengajak anak-anak muda supaya berhimpun menentang keputusan PRU itu.
Saya tidak menolak kemungkinan penipuan itu, tetapi belum lagi nampak buktinya sehingga isu itu dihakimkan oleh Mahkamah Tinggi nanti. Di peti undi tempat saya membuang undi di Seri Menanti Kuala Pilah, tidak ada pula elemen tipu menipu ini.
Tetapi isu yang dibangkitkan oleh Asian Wall Street Journal yang menceritakan yang Jusuf Kalla telah menuduh Anwar memungkiri janji itu sebenarnya tidak mengejutkan sesiapa yang memahami politik Anwar.
Sebenarnya Anwar sudah begitu ‘over confident’ untuk menang dan tidak mahu BN berbuat angkara jika Pakatan mendapat mandat rakyat.