PRU 13 dan Masa Depan Negara Malaysia


http://www.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2012/03/malaysian.jpg 

Melalui nota ini, saya menyeru kepada semua, terutamanya saudara Islam supaya kita menarik nafas sedalam-dalamnya sejenak dan menempatkan satu ruangan kecil dalam hati anda untuk melakukan perkara berikut tanpa mengira faham politik anda.

Mohamed Kamaruddin

Alhamdulilah kerana Allah memperkenankan doa kita supaya Parlimen dibubarkan dengan segera untuk membolehkan PRU13 dilaksanakan. Kini, penantian rakyat Malaysia sejak lebih 1 tahun berlalu telah berakhir pada hari Rabu 3 April 2013. Syukur!

Kalau diikutkan hati, tak mahu menoleh ke belakang. Senario Negara bergelumang dengan najis politik, umpat mengumpat, dedah mendedah, caci mencaci, dan semua yang sejenis dan sealiran dengannya mengecilkan semua usaha baik, murni, ikhlas, betul, benar – setiap hari. Sikap dan tabiat buruk yang ditunjukkan dan diiklankan oleh pihak dewasa warga politik menjadi satu matapelajaran baru bagi generasi anak-anak yang berusia bawah 17 tahun. Merekalah pemimpin Negara Malaysia pada masa yang akan datang. Sungguh cemerlang warga politik Malaysia melakar generasi politik masadepan Negara. Ya Allah, lindungilah Negara Malaysia kami dari kemurkaanMu.

Satu ketika dahulu, tahap silaturahim dan kejiranan amat tinggi. Kita boleh duduk semeja diwarung meneguk teh dan kopi, kita masih boleh berjalan bersama menuju surau dan masjid untuk bersama menyembah dan sujud kepada Allah Yang Maha Esa. Kini ianya hanya dikenang sehinggakan rakan jemaah saf di kiri dan di kanan pun menjadi pilihan. Nafsu politik memperkaumkan ummah dan berjayalah mereka yang merasakan diri mereka adalah Juara Politik!

Kini, pembubaran Parlimen telah berlaku sepertimana yang dicita-citakan. Kita kini akan menghadapi tiga situasi genting iaitu:

1. Hari untuk Penamaan Calun
2. Hari untuk Pengundian dan Keputusan Pilihanraya
3. Hari untuk Penubuhan Kerajaan Baru

Hari Penamaan Calun adalah sama seperti hari pengenalan musuh politik sementara hari pengundian dan keputusan pilihanraya serta hari penubuhan kerajaan baru akan menentukan halatuju masa depan Negara.

Melalui nota ini, saya menyeru kepada semua, terutamanya saudara Islam supaya kita menarik nafas sedalam-dalamnya sejenak dan menempatkan satu ruangan kecil dalam hati anda untuk melakukan perkara berikut tanpa mengira faham politik anda. Ruangan berkecuali ini adalah untuk meletakkan usaha murni dalam keindahan Islam bahawa kita semua adalah bersaudara. Gerakkanlah diri kita sendiri untuk melakukan perkara-perkara berikut, ajak dan pelawalah saudara yang lain untuk bersama melakukannya. Mudahan Allah akan melimpahkan Rahmat dan Kasih Sayang Nya kepada kita. Perkara yang akan kita lakukan adalah seperti berikut:

1. Selepas sesi Penamaan Calun, kita semua ke surau atau masjid untuk membaca Surah Al Yasiin diantara Maghrib dan Isya dan berdoa semoga Allah akan memilih calun politik yang terbaik untuk kita kerana Dialah Yang Maha Pemilih. Kita juga berdoa supaya

Allah mengekang nafsu amarah semasa berkempen dan Allah merencanakan perancangan pengundian yang terbaik mengatasi semua perancangan pengundian kotor oleh mana-mana pihak. Sesungguhnya Allah Maha Perancang.

2. Sehari sebelum sesi pengundian, kita semua kembali ke surau dan masjid untuk sekali lagi membaca Surah Al Yasiin diantara Maghrib dan Isya dan berdoa semoga proses pengundian akan berjalan lancar dengan baik, berdisiplin, selamat, beretika dan bertertib. Hari yang berikutnya iaitu selepas mengundi, kita beramai-ramai ke surau dan masjid untuk bersama-sama sekali lagi membaca Surah Al Yasiin diantara Maghrib dan Isya dan berdoa semoga Allah mempermudahkan proses pengiraan undi dan seterusnya pengumuman keputusan pilihanraya tanpa sebarang insiden yang tidak baik.

3. Keesokan pagi harinya, kita sudah tentu mendapat berita keputusan pilihanraya. Oleh itu kita sekali lagi menuju ke surau dan masjid untuk membaca surah Al Yasiin selepas solat subuh dan berdoa semoga proses penubuhan kerajaan baru selepas PRU13 akan dipermudahkan serta memohon kepada Allah supaya silaturahim semua rakyat Malaysia dipereratkan semula untuk membolehkan kita hidup aman sentosa.

Bagi mereka yang bukan berugama Islam, mereka boleh melaksanakan apa sahaja yang bersesuaian dengan agama pegangan mereka. Keutamaannya ialah walaupun kita semua melalui waktu kekalutan, nilai baik dalam diri kita masih ada dan mengerti bahawa esok tak sama dengan hari ini dan kehidupan perlu diteruskan.

Tempoh yang singkat dari sekarang sehinggalah penubuhan kerajaan perlu dihayati oleh semua rakyat. Oleh kerana kita sebagai manusia yang lemah tidak berupaya mengekang azab dan siksaan Allah, marilah kita bersama kembali kepada Allah untuk Allah memberikan apa yang terbaik untuk kita.

Pangkahan kita hanyalah suatu usaha kerdil kita, pangkahan Allah lebih PASTI!

Allahuakbar.

 



Comments
Loading...