Mengapa mereka tinggalkan Anwar?
(Sinar Harian) – Ia bukan berita mengemparkan atau breaking news. Kalaupun disiarkan, ia hanya sesuai, mungkin satu atau paling banyak dua kolum muka dalam akhbar. Begitulah mengenai berita tentang tokoh-tokoh tertentu dalam masyarakat dan bidang akademik yang telah meninggalkan Anwar Ibrahim.
Setakat ini sudah ramai tidak lagi mahu di sisi menyokong perjuangannya. Ini bukan soal demokrasi. Lagipun, sama ada kawan-kawan bekas Presiden Abim itu enggan bersamanya dalam wadah baru, PKR, adalah hak mereka. Mereka bukan lagi golongan baru belajar berfikir dan menganalisis, tetapi merupakan tokoh yang amat disegani di dalam dan di luar negara.
Apa pun, berita Prof Datuk Dr Sidek Baba tidak lagi sealiran dengan bekas bosnya, Anwar, perlu diberi perhatian. Setakat ini hanya sebuah akhbar yang mendominasi berita ini, lain-lain ambil sikap berkecuali.
Bercakap pasal Dr Sidek, kita bercakap mengenai perjuangan Islam di peringkat jauh lebih tinggi berbanding kebanyakan ulama berijazah asas yang seolah-olah baru kenal dengan alif ba ta.
Dr Sidek merupakan antara hard core Anwar yang boleh diibaratkan panglima perang.
Di UIA, Dr Sidek menjadi pemangkin pada gerakan menaikkan Anwar di kalangan masyarakat intelektual serta dunia pelajar.
Sanusi Junid selaku Presiden UIA sebelum dipecat tentu dapat melihat bagaimana kampus di Gombak itu semakin hari membuahkan pelajar dan kakitangan pro Anwar.
Bercakap pasal keputusan Dr Sidek, kita tentu tidak terlepas membincangkan mengenai Abim dan kawan-kawan Anwar dalam Abim.
Abim yang lama juga berpecah dua – team A dan team B. Manakala satu masih memihak pada perjuangan Anwar, satu lagi memilih sebaliknya.
Bagi mereka yang menyokong Anwar, ia tidak mengejutkan kerana mereka memilih meneruskan aktiviti dalam perjuangan siasah pula.
Kebanyakan menyertai PKR, ada yang sudah bergelar ahli Pas seperti Kamaruddin Jaafar. Dan mereka dalam kumpulan ini mempunyai cita-cita bergelar YB melalui jalan mudah iaitu dengan menyokong Anwar.
Timbul juga pertanyaan mengapa rakan-rakan lama Anwar memilih kekal dalam Umno dan enggan menyertainya. Dalam kata lain mengapa mereka tinggalkan bekas Presiden Abim itu sedangkan merekalah antara insan yang kenal beliau luar dalam.
Hari ini kawan-kawan yang dulu sanggup sehidup semati sudah pun menjadi “musuh”nya.
Biar kita sebut beberapa nama. Dr Zahid Hamidi pernah ditahan di bawah ISA kerana menjadi orang Anwar. Bukankah dia yang bercakap dan perkenal perkataan kronisme dan neopotisme dalam Umno waktu Dr Mahathir masih Presiden Umno?
Menteri Besar Perak kini, Dr Zambry Abd Kadir juga adalah antara mereka yang dikatakan “orang Anwar” dan pernah meringkuk di bawah ISA, juga kerana demonstrasi haram pada tahun 1998. Lain-lain yang sanggup habiskan masa muda bersama gerakan pembebasan Anwar ialah Zulkifli Nordin, Zaharin dan ramai lagi.
Mesti ada sebab mereka yang dulu hard core Anwar sanggup salin kulit dan tinggalkan perjuangan itu begitu saja.
Namun itu cerita dulu dan mengenai pemimpin Abim zaman itu, tetapi pemimpin Abim zaman milenium ini juga ada cerita tersendiri. Biar kita petik komen Dr Yusri Mohamad, bekas Presiden Abim.
Beliau anggap keputusan Dr Sidek tepat dan wajar dikaji oleh rakyat sebab beliau berbuat demikian.
“Saya mengenali rapat Sidek kerana kami sama-sama membesar dalam Abim.
Beliau cukup dihormati kerana ketinggian ilmu serta sifat tawaduk. Saya mengakui, saya antara individu pertama menemui Sidek dalam pencariannya mengkaji kebenaran mengenai moral Anwar.”
Hari ini kawan-kawan yang meninggalkan perjuangan Anwar lebih ramai dari dijangkakan. Ustaz Nakhaie Ahmad, menyertai Pas masa Anwar dalam Abim tapi kini menyertai Umno pula. Dr Chandra Muzaffar selaku pengasas PKR juga cabut dari organisasi itu.
Selain mereka, Dr Hasan Ali dan Nasharuddin Mat Isa dilihat berkerat rotan dengan Anwar walau pada peringkat awal adalah bersama dalam gerakan Anwar. Perkataan Pas diresapi parasit adalah komen pertama Hasan sebagai sebab meninggalkan perjuangan Pas sebagai merujuk kepada usaha Anwar mencatur agenda Pas dari luar.
Sebelum tinggalkan isu Dr Sidek, lihat apa komennya sebagai penyebab dia juga berkerat rotan dengan Anwar. Ingat dia bersahabat dengan Anwar 30 tahun lebih dan pernah ditahan ISA. Salah satu dari tiga punca utama ia putus harapan terhadap rakannya itu ialah masalah keruntuhan moral.
Sebelum membuat keputusan, Dr Sidek menyiasat dan menemu bual beberapa individu yang sangat rapat dengan Anwar, ini diikuti solat sunat istikharah memohon petunjuk.
Sebagai ahli akademik dan tokoh pemikir, beliau tidak buat rumusan melulu dan bias melainkan mencari bukti terlebih dahulu. Beliau melakukan solat istikharah sebelum buat keputusan.