Bilakah DAP akan diharamkan?
Sebagaimana semua menunggu bila Parlimen hendak dibubarkan, maka semuanya menunggu bila pula DAP hendak diharamkan?
Haji Subky Abdul Latif, TMI
RoS (Registrar of Societies) sudah mengingatkan supaya DAP mengadakan undi semula pemilihan pimpinan pusatnya jika tidak mahu dikenakan tindakan. Tindakan itu mungkin diharamkan. Dan pihak yang benci DAP memang mendesak supaya RoS membatalkan pendaftarannya.
DAP setakat ini enggan mengadakan pemilihan semua pimpinannya. Ia telah memaklumkan sendiri berlaku salah kira atas keputusan pemilihan itu dan ia tidak dibetulkan. Tiada siapa tahu DAP melakukan kesilapan jika ia tidak memaklumkannya kepada umum.
Sekarang semua menunggu bila RoS akan membatalkan pendaftaran DAP. Dalam waktu yang suntuk ini jika diharamkan, sulit sedikit baginya bagi mendaftarkan yang baru.
DAP bersedia untuk diharamkan. Penasihatnya Lim Kit Siang menyatakan DAP sedia bertanding atas nama PAS dalam PRU13 ini. Dan reaksi Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustapa Ali ialah PAS sedia memberi laluan.
Soalnya sekarang bila RoS hendak mengharamkan DAP? Jika RoS sebuah agensi yang tegas dalam serba serbi, maka ia mesti haramkan DAP dengan segera sekurang-kurangnya sebelum hari penamaan calon.
PAS sekarang dipercayai menunggu. Ia tidak mendoakan supaya DAP diharamkan, tetapi kalau diharamkan, maka ia satu cabaran yang menarik bagi menguji kematangan politik Pakatan Rakyat dalam suasana baru politik Malaysia sekarang.
Semua akan menyaksikan pejuang Islam dalam PAS menawarkan kemudahan kepada sekutunya bagi membuktikan kemantapan dan kematangan kerjasamanya dan DAP pula di lihat berani menghadapi pengundi tradisinya untuk menggunakan lambang PAS, Bulan Penuh Purnama. Ia menguji kematangan pengundi bukan Islam mampu membuat perubahan untuk bersama PAS.
Read more at: http://www.themalaysianinsider.com/opinion/article/bilakah-dap-akan-diharamkan/