MP Serdang dicabar saman Tan Tee Beng


(Bernama) – Anggota Parlimen Serdang Teo Nie Ching hari ini dicabar supaya mengambil tindakan guaman ke atas Anggota Parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng yang mendakwa Teo dan pembantu peribadinya terlibat dalam penyelewengan wang sewaan Pusat Perkhidmatan Anggota Parlimen Serdang.

Bekas juruaudit DAP cawangan Serdang Baru Yap Kon Min berkata pihaknya mahu Anggota Parlimen Serdang daripada DAP itu mengambil tindakan guaman terhadap Tan, juga daripada DAP, dalam tempoh tujuh hari mulai hari ini, dan jika tidak Teo mesti meletak jawatan sebagai Anggota Parlimen Serdang dengan segera.

Katanya ini berikutan sehingga kini, Teo tidak mengambil apa-apa tindakan guaman terhadap Tan sejak Anggota Parlimen Nibong Tebal itu membuat pendedahan perkara itu lapan bulan yang lepas.
   
“Sebagai seorang peguam, kata-katanya mesti dikotakan tetapi kata-katanya itu tak serupa bikin. Adakah dakwaan MP Tan itu benar?
   
“(Ini) Demi maruah MP Teo sendiri dan pengundi-pengundi di Serdang, demi polisi CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus) kerajaan pakatan rakyat Selangor, khasnya parti DAP. Jangan malukan pengundi-pengundi di kawasan Serdang kerana wakil rakyatnya cakap tak serupa bikin,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada Jun tahun lepas, Tan mendedahkan Teo dan pembantu peribadinya, Chan Huan Guan terbabit dalam penyelewengan wang sewaan pusat khidmat berjumlah RM16,000 sejak 2009 hingga Jun 2011.
   
Teo, dalam sebuah akhbar berbahasa Cina, mendesak Tan supaya memohon maaf kepadanya yang jika tidak berbuat demikian, tindakan guaman akan diambil.
   
Teo telah menghantar Surat Tuntutan kepada Anggota Parlimen Nibong Tebal berhubung perkara itu yang turut meminta Tan menarik balik dakwaannya.
   
Bagaimanapun, Tan dalam satu sidang akhbar telah mengoyak surat itu dan terus mencabar Teo supaya mengambil tindakan guaman terhadapnya.

 



Comments
Loading...