Karpal tetap mahu Anwar menjadi perdana menteri
(Bernama) – Pengerusi DAP Karpal Singh sekali lagi menegaskan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi perdana menteri jika pembangkang berjaya menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).
Beliau menyifatkan dakwaan kononnya Majlis Syura Ulama PAS menolak Anwar bagi menduduki jawatan berkenaan sebagai satu spekulasi.
“Pilihan DAP adalah Anwar Ibrahim dan saya fikir pilihan ini akhirnya akan disokong PAS dan PKR (Parti Keadilan Rakyat) kerana Anwar Ibrahim paling layak,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Baru-baru ini, akhbar melaporkan Majlis Syura Ulama PAS menolak Anwar dilantik sebagai perdana menteri jika pakatan pembangkang menang dalam PRU-13 dan berkemungkinan melantik seorang pemimpin dari luar pakatan pembangkang.
Menurut laporan itu, Anggota Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mendakwa rakan-rakannya dalam PAS memberitahu penolakan Majlis Syura Ulama PAS terhadap Anwar semakin kuat.