Sultan Selangor kesal Guan Eng ungkit isu kalimah Allah


(The Malaysian Insider) – Sultan Sharafuddin Idris Shah terkejut dan kesal dengan tindakan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, yang meminta agar Putrajaya membenarkan kalimah Allah digunakan dalam semua Bible berbahasa Melayu baru-baru ini.

Berikutan dengan kenyataan dan gesaan tersebut, Sultan Selangor itu telah memanggil satu mesyuarat khas dengan beberapa orang Ahli Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Mufti Selangor serta pegawai tertìnggi MAIS dan JAIS pacla 6 Januari 2013.

“DYMM Sultan Selangor telah membuat ketetapan dan menitahkan dengan tegas bahawa kalimah Allah yang merupakan kalimah suci khusus bagi umat Islam tidak boleh sama sekali digunakan di Negeri Selangor oleh mana-mana agama bukan Islam yang Iain sebagaimana yang telah difatwa dan diwartakan pada 18 Februari 2010,” kata Setiausaha MAIS Datuk Mohd Misri Idris dalam satu kenyataan hari ini.

Perdebatan di mahkamah mengenai isu perkataan “Allah” masih belum diselesaikan, dengan Gereja Katolik masih dihalang dari menggunakan perkataan tersebut dalam akhbar mingguannya The Herald, walaupun keputusan Mahkamah Tinggi membenarkannya pada 31 Disember, 2009, kerana Kementerian Dalam Negeri pada 2010 membuat rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi itu, dan sejak itu mahkamah tidak membuat sebarang keputusan untuk menetapkan tarikh untuk perbicaraan.

Menurut Mohd Misri lagi, Sultan pernah mengeluarkan titah sama berkaitan penggunaan kalimah Allah tiga tahun yang Ialu apabila isu ini pertama kali dibangkitkan akan tetapi tidak diendahkan.

“Namun DYMM Tuanku amat kesal kerana titah Baginda tersebut telah dipandang ringan oleh sesetengah  sehingga isu yang sama dibangkitkan semula,” katanya.

“Berikutan dengan itu DYMM Tuanku juga telah menitahkan MAIS dan JAIS untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak sama ada orang bukan Islam atau di kalangan orang Islam sekalipun yang masih mempersoalkan atau memperlekehkan Fatwa yang telah dikeluarkan mengikut peruntukan undang¬ undang yang sedia ada di Negeri Selangor.”

Polemik penggunaan kalimah Allah timbul kembali apabila Lim dalam perutusan Krismasnya pada 24 Disember lalu menggesa kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam Injil bahasa Melayu memandangkan ia telah dibenarkan di Sabah dan Sarawak sejak 50 tahun lalu dan digunapakai di Timur Tengah hampir seribu tahun lalu.

Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kemudian memberi respon bercanggah dengan pendirian presiden parti tersebut Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada tahun 2010 apabila  berkata kalimah “Allah” dalam Alkitab, terjemahan Injil bahasa Melayu tidak akan mencerminkan maksud asal ayat tersebut.

 



Comments
Loading...