MCA akan terus bangkitkan isu ‘hudud’
(The Malaysian Insider) – MCA akan terus membangkitkan isu hudud untuk memastikan rakyat tidak mengundi Pakatan Rakyat (PR) walaupun ia berulang, bagi menyelamatkan Malaysia dari menjadi negara teokratik Islam.
“Isu hudud ini adalah penting kerana hukum hudud ini bakal mengubah senario negara ini.
“Kita harus menyampaikan mesej ini kepada rakyat, terutama kepada masyarakat Cina bahawa negara teokratik tidak dapat diterima di negara ini,” kata timbalan presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam sidang media selepas merasmikan perhimpunan agung Pemuda MCA pagi ini.
“Kami akan terus menerangkan kepada rakyat yang kami tidak boleh menerima negara teokrasi dan hukum hudud ala PAS,” katanya lagi.
Menteri kesihatan itu menemplak kritikan bahawa MCA telah mengulang-ulang isu hudud untuk meraih sokongan pengundi untuk memenangi pilihan raya dengan berkata isu tersebut perlu diulang bagi memastikan undang-undang Islam tersebut tidak diadakan di Malaysia.
Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah ketua pemuda MCA Datuk Wee Ka Siong.
Wee berkata, dahulu DAP lantang menentang negara Islam yang dimahukan PAS, tetapi ia semakin berlembut untuk menawan Putrajaya.
Read more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/mca-akan-terus-bangkitkan-isu-hudud/