Umat Islam mesti bangkit kecam hina Rasulullah


Harakah Daily

Kami dari Majlis Penyelidikan Dewan Ulama PAS Pusat, sesungguhnya merasa amat kesal dengan tragedi penghinaan kepada Rasulullah SAW melalui filem yang mengaibkan baginda dan menyeru seluruh umat Islam bangkit mengecam dan menentang sebarang bentuk penghinaan sebegini.

Sudah sekian kalinya, penghinaan terbuka secara sengaja oleh musuh-musuh Islam berlaku. Inilah malang dan mala petaka apabila umat Islam tidak cakna dan prihatin terhadap agama dan Nabi-Nya, lompang yang kosong dan ruang yang ada digunakan oleh musuh Islam dengan sewenang-wenangnya terhadap kekasih umat yakni Rasulullah SAW.

Sesungguhnya umat Islam mampu bersabar dalam menghadapi mehnah, tribulasi dan liku-liku perjuangan hidup tetapi kesabaran ada had dan batasnya. Ini kerana mempertahankan Rasulullah SAW lebih aula dan sewajibnya melebihi ibu bapa hatta diri sendiri. Inilah yang kami imani dan yakin seperti yang diarifkan oleh sejarah para sahabat, tabiin dan salaf al-soleh.

Justeru, kami cadangkan semua umat Islam bertindak seperti berikut:

– Menghantar nota bantahan kepada Kedutaan Amerika dan PBB. Ini kerana dalam Konvensyen Antarabangsa dan Mesyuarat Tahunan PBB yang sememangnya mengutuk apa jua jenis pencabulan terhadap mana-mana kepercayaan agama suci, perutusan berkaitan agama dan kitab suci masing-masing.

– Menjelaskan kebobrokan dan penipuan filem tersebut. Penghinaan terhadap agama Islam dan pelan Islamofobia barat mula menular sejak penulis dari British yang menghina Islam iaitu Salman Rushdi dalam bukunya yang berjudul ‘Kesucian Nabi’ dalam Islam pada tahun 1988.

– Mengajak Perdana Menteri dan barisan kabinetnya sebagai kerajaan yang sah dengan menghantar Surat Bantahan kepada Kerajaan Amerika.

– Mengesyorkan kepada Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Komunikasi supaya bertindak pantas terhadap sebarang media yang menyiarkan dengan sewenang-wenangnya filem tersebut.

– Mengajak umat Islam bersatu mempertahankan Rasulullah SAW dengan menekuni sirah, sunnah dan hadisnya.

– Mengutuk sebarang penyiaran filem anti Islam dan tindakan mencabul kehormatan Islam sama ada filem luar negeri mahupun dalam negeri.

– Sudah sampai masanya kerajaan, sebagai contoh melalui JAKIM menubuhkan unit khas menjawab segala syubhah dan keraguan serta penghinaan seringkali dilemparkan kepada Islam. Ini supaya kenyataan dan tindakan perlu diselarikan yang menunjukkan kesepakatan dan muafakatnya umat Islam.

JAKIM serta badan agama negeri hendaklah menulis khutbah khas dan juga buku yang khas dalam menjawab sebarang fitnah dan tuduhan liar lagi jahat terhadap Baginda SAW dan Islam.

Begitu juga kajian mendalam berkenaan dengan jawapan yang terbaik melalui media massa serta artikel dan juga syarahan perlu menjadi agenda dalam mempertahankan baginda SAW.

Termasuk dalam penghinaan kepada Rasulullah SAW ialah tidak mengikut sunnahnya bahkan menentang segala syariatnya seperti tidak melaksanakan hudud dan memperlekehkan hukum Islam.

Ingatlah jika sekiranya kita berpaling, nescaya Allah akan menggantikan kaum yang lain bukan seperti kita bahkan jauh lebih baik untuk memperjuangkan agama-Nya.

Sesungguhnya, mulianya kita selama mana mempunyai izzah dengan Islam dan rasulnya sebaliknya hinanya kita apabila luntur keyakinan dan pegangan kepada agama Islam.

Ya Allah, kami menadah tangan munajat kepada-Mu supaya menetapkan hati-hati kami dan pendirian kami dalam mentaati-Mu dan memelihara agama-Mu dan nabi-Mu.

Ya Allah, ampunkanlah dosa kami atas kelemahan kami dalam mempertahankan nabi-Mu. Amin.

Penulis ialah Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat & Majlis Penyelidikan Dewan Ulama PAS Pusat

 



Comments
Loading...