Ulang tahun ke-4 pembohongan Anwar
Politik jijik dan kotor semakin meningkat hanya disebabkan cita–cita dan impian seorang individu untuk menjadi Perdana Menteri negara kita.
Oleh Shen Yee Aun, FMT
Pada setiap tahun sejak 1963, September 16 merupakan hari untuk memperingati penubuhan persekutuan Malaysia. Sepanjang lima dekad ini, negara Malaysia telah ditadbir oleh kerajaan Barisan Nasional yang telah melalui liku perjalanan yang penuh dengan cabaran dan rintangan daripada kuasa asing.
Sebelum ini Malaysia diancam oleh kuasa asing seperti British, Jepun, Belanda, Singapura, Indonesia, Filipina dansebagainya tetapi kini bumi yang bertuah ini pula menerima ancaman daripada anasir dalaman (Pakatan Rakyat) untuk meruntuhkan tamadun Malaysia yang sudah lama dibina oleh Barisan Nasional.
Politik jijik dan kotor semakin meningkat hanya disebabkan cita–cita dan impian seorang individu untuk menjadi Perdana Menteri negara kita.
Adakah keseluruhan kemajuan, kestabilan dan kedaulatan negara kita hendak kita robohkan hanya demi membantu memenuhi hawa nafsu seseorang individu untuk menjadi Perdana Menteri negara kita?
Dahulu bangsa Melayu, Cina, India, Kadazan, Bidayu dan pelbagai rakyat etnik Malaysia hidup dengan aman dan bersatu. Namun, perpaduan dan keamanan yang sudah lama kita nikmati bersama sudah berada pada tahap keretakkan sejak penubuhan Pakatan Rakyat yang sanggup bersikap Machiavelli dengan melakukan apa–apa sahaja demi menawan Putrajaya.
Mereka terus memainkan sentimen perkauman bagi membakar api kemarahan dan kebencian rakyat terhadap sesebuah kerajaan yang sudah lama berbakti dan berjasa kepada negara.
Mereka terus menyemarakkan api kemarahan dan kebencian rakyat dengan menumpah minyak penipuan dan pembohongan. Mereka sanggup menaburkan janji–janji yang tidak realistik demi memberi harapan palsu kepada seluruh rakyat Malaysia termasuk menjanjikan bumi dan langit.
Mereka sanggup merisikokan keselamatan rakyat dan nyawa ribuan rakyat Malaysia dan memperdaya mereka untuk bangkit bertindak ganas dan berdemonstrasi di jalanan.
Negara Malaysia, sekiranya rakyatnya tidak membuka mata dan telinga dan terperangkap dalam agenda jahat Pakatan Rakyat, sudah semakin hampir dengan ambang zaman kegelapan.
Runtuhnya tiang Barisan Nasional yang selama ini menunjangi kestabilan, keamanan dan perpaduan negara Malaysia maka runtuhnya sinar dan cahaya negara Malaysia yang tercinta.
Mereka terus menjampi dan memukau rakyat dengan segala seribu harapan yang realitinya indah khabar dari rupa.
Laungan reformasi mereka hanya akan membasikan negara kita. Laungan Bersih mereka hanya akan membersihkan segala nikmat yang telah lama kita kecapi.