PAS mahu Pusat ikut Selangor jika mahu PRU serentak


Nomy Nozwir, The Malaysian Insider

PAS Selangor mahu kerajaan pusat untuk mengikut jejak Selangor yang menunggu mandat berakhir pada April 2013 dalam melangsungkan pilihan raya umum (PRU) jika tidak mahu pembaziran kos dan masa.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman (gambar) berkata, isu pembaziran masa dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terpaksa menyediakan kos tambahan tidak timbul sekiranya Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) diadakan pada waktu yang sepatutnya.

“Kalau nak elak bazir masa dan kewangan, tak payah buat sebelum tempoh berakhir penggal. Buat sekali tahun depan dan biar sampai habis penggal, jangan buat awal.

“Mereka (Barisan Nasional) kata Pakatan Rakyat (PR) tidak menepati janji. Bagaimana nak realisasikan semuanya kalau masa tidak cukup. Bagi masa sebab kami nak selesaikan manifesto yang ada,” menurutnya yang dipetik dari akhbar Sinar Harian hari ini.

Menurut Abdul Rani lagi, jika tidak mahu menyusahkan rakyat terutamanya mereka yang tinggal di luar Selangor dan terpaksa pulang semata-mata kerana pilihan raya, kerajaan pusat perlu mengadakannya serentak dengan Selangor tahun depan.

Bagaimanapun katanya, beliau akan cuba memanjangkan cadangan untuk menyediakan sedikit peruntukan jika ada keperluan bagi membantu meringankan beban rakyat Selangor pulang mengundi dua kali.

“Memang baik buruknya pilihanraya berasingan, tetapi kalau betul jadi seperti itu, kita cuba fikirkannya. Cuba panjangkan dan bagi cadangan kepada parti dalam mesyuarat parti nanti,” katanya lagi.

Beliau juga tidak menafikan, tindakan mempercepatkan PRU13 membuktikan BN takut dengan manfaat yang diperoleh rakyat melalui program Kerajaan Negeri PR memandangkan program yang tiada dalam manifesto pun dilaksanakan seperti “Jom Shopping” dan sebagainya.

Dalam pada itu katanya, tarikh PRU13 sepatutnya diumumkan lebih awal kerana yang akan mengundi berhak mengetahuinya.

 



Comments
Loading...