Adakah Petronas si Tanggang?


http://www.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2012/04/Petronas-Malaysia-LOGO-300x202.jpg

(Free Malaysia Today) – Petronas mahu menghentikan pembayaran subsidi gas, malah sejak tahun lepas mahu membayar dividen yang lebih rendah!

Oleh Anas Alam Faizli

Pada awal bulan Jun baru-baru ini, Petronas secara tidak langsung telah menyatakan hasratnya di Persidangan Gas Se-Dunia bahawa perbadanan multinasional terbesar negara ini sudah tidak sanggup lagi untuk menjadi seperti kilang pencetak wang kerajaan Malaysia. Petronas mahu menghentikan pembayaran subsidi gas, malah sejak tahun lepas, Petronas mahu membayar dividen yang lebih rendah!

Adakah Petronas seperti si Tanggang? Hasil wang minyak dan  gas adalah milik rakyat dan juga amanah kerajaan. Banyak penulisan yang telah mengulas mengenai kemampanan pembayaran yang berterusan dari Petronas. Artikel ini cuba mengupas hal ini dari satu perspektif berbeza, memberikan realiti industri minyak dan gas tempatan serta menerangkan mengapa pembayaran wang yang tinggi dari Petronas mungkin bukanlah keputusan yang terbaik untuk rakyat Malaysia sendiri, dalam jangka masa panjang.

Pada tahun 1974, Petronas yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia telah ditubuhkan dan diberi hak milik, tanggungjawab dan kawalan sepenuhnya ke atas rizab minyak dan gas negara. Kini, Petronas telah berkembang menjadi sebuah syarikat gergasi antarabangsa serta termasuk antara syarikat minyak dan gas yang paling terbesar dan menguntungkan di dalam senarai “Fortune 500” dengan jumlah tenaga kerja lebih daripada 30,000 orang.

Mungkin ramai yang bersetuju tokoh-tokoh seperti Tun Abdul Razak Hussein dan Tengku Razaleigh Hamzahlah yang paling berjasa; sebagai para pengasas Petronas, mereka telah meletakkan asas yang kukuh serta visi dan objektif yang cemerlang sehingga berjaya memastikan kepimpinan dan pengurusan kemudiannya seperti Tan Sri Azizan Zainul Abidin, Tan Sri Hassan Merican, dan yang terkini Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Shamsul Azhar Ababs mampu untuk terus mendukung dan mengembangkan Petronas ke persada dunia. Asas yang kukuh ini jugalah yang telah membolehkan Petronas mengembangkan sayapnya ke lebih dari 30 buah negara di seluruh dunia. Petronas juga telah di sebutkan sebagai “seven sisters” yang baru, satu istilah yang pada asalnya dicipta oleh ahli perniagaan Itali Enrico Mattei, untuk merujuk kepada syarikat-syarikat gergasi minyak dan gas tersohor dunia seperti Exxon Mobil, Chevron, BP dan Shell.

Soalan 1 – Adakah Malaysia terlalu bergantung kepada Petronas dan rizab minyak dan gas untuk kelangsungan kebolehtahanan ekonomi negara?

Hasil dari Petronas telah menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan pesat Malaysia. Sejak penubuhan Petronas pada tahun 1974, RM 529.0 bilion di dalam bentuk dividen, cukai, hasil minyak dan gas dan duti eksport telah dibayar kepada kerajaan Malaysia. Sejumlah RM 136.5 bilion pula telah dikeluarkan untuk membayar subsidi kepada TNB, pengeluar tenaga bebas, pihak komersial dan lain-lain. (Sumber: Laporan Tahunan Petronas 2011)

Dalam lima tahun kewangan Petronas yang terakhir, sejak tahun kewangan 2007, Petronas telah membayar kerajaan Malaysia kira-kira RM 61.0 bilion setiap tahun, secara puratanya. Dividen sahaja telah direkodkan mencecah 53.0 peratus daripada keuntungan tahunan Petronas; satu jumlah yang jauh lebih tinggi dari purata 38.0 peratus yang dibayar oleh syarikat minyak dan gas nasional lain di seluruh dunia kepada kerajaan masing-masing. Jumlah pembayaran yang telah dikeluarkan oleh Petronas kepada kerajaan secara puratanya adalah sebanyak 41.0 peratus daripada jumlah pendapatan kerajaan Malaysia.

Bukan sahaja itu, malah kerajaan Malaysia juga telah menggunakan “khidmat” Petronas untuk pelbagai keperluan mengikat jamin. Contohnya ikat jamin Bank Bumiputera bernilai RM2.5 bilion pada tahun 1985, diikuti dengan RM 1.0 bilion tambahan pada tahun 1991. Melalui MISC pada tahun 1997, Petronas juga telah menyelamatkan Konsortium Perkapalan Berhad (KPB), yang menghadapi kerugian sebanyak RM 2.0 bilion pada ketika itu.

Petronas kemudiannya juga dirujuk untuk menanggung kos pembinaan Menara Kembar Petronas bernilai RM 6.0 bilion dan juga pembinaan Putrajaya yang mencecah RM 22.0 bilion.

Soalan 2 – Hasil bumi minyak dan gas Malaysia bakal habis?

Semua sedia maklum bahawa hasil bumi minyak dan gas adalah sumber yang tidak boleh diperbaharui dan bakal lupus. Pengeluaran minyak Malaysia mencatatkan pengeluaran tertinggi (iaitu lebih kurang 650,000 tong minyak sehari) pada tahun 1994, dan kemudiannya merosot. Walaupun tahun 2002 telah menyaksikan sedikit peningkatan, tetapi statistik pengeluaran kembali menurun sejak tiga tahun yang lalu, dan kini mencatatkan hanya lebih kurang 600,000 tong minyak sehari. Pengeluaran gas pula, berdasarkan projek-projek yang telah beroperasi, menghasilkan 6.1 bilion kaki persegi padu gas sehari. Ini dijangkakan akan menurun kepada hanya 1.5 bilion kaki persegi padu gas sehari menjelang tahun 2025.

Situasi ini sejajar dengan corak pertumbuhan pengeluaran minyak dunia, yang mendatar daripada tahun 2005 hingga tahun 2009. Journal of Energy Security (2008) menyimpulkan bahawa potensi untuk meningkatkan pengeluaran gas dan terutamanya minyak adalah terhad. Saudi Aramco, syarikat minyak dan gas gergasi terbesar Arab Saudi, mengakui bahawa pengeluaran daripada rizab minyak dan gasnya yang telah digali kini menurun pada kadar 8.0 peratus setahun. Menurut International Energy Agency (2007) pula, berdasarkan kajian daripada 800 buah telaga minyak, pengeluaran minyak dan gas dunia akan menguncup pada kadar 6.7 peratus setahun.

Rizab minyak dan gas yang belum diusahakan di Malaysia juga tidak banyak seperti dahulu. Lapangan-lapangan minyak dan gas kecil (marginal oil and gas fields) yang sebelum ini dianggap sekadar “tulang” kini menjadi “isi”; seolah-olah peluang keemasan yang ingin direbuti oleh semua pihak. Tambahan pula, pengeluaran dari lapangan minyak sedia ada di Malaysia sudahpun melihat puncaknya dahulu, dan kini hanya semakin merosot. Rizab minyak dan gas yang tinggal pula lebih sukar untuk dibangunkan kerana hasilnya kurang lumayan berbanding usaha yang diperlukan, ataupun lokasinya yang terletak di kawasan laut dalam lalu sukar dibangunkan akibat had-had teknologi dan menjadikannya jauh lebih mahal.

Kajian juga telah menunjukkan bahawa peningkatan aktiviti carigali minyak dan gas secara intensif tidak semestinya menjamin meningkatan pengeluaran, terutamanya di kawasan-kawasan lapangan minyak dan gas yang sudah matang. Di antara tahun 1974 dan 1978, sejumlah 40 telaga penerokaan yang digerudi menghasilkan penemuan rizab minyak dan gas tambahan sebanyak 1,580 juta tong minyak. Antara tahun 2004 dan 2008, walaupun sebanyak 140 telaga telah digerudi (iaitu 3.5 kali ganda lebih banyak), hasil penemuan rizab minyak dan gas hanyalah sebanyak 1,050 juta tong minyak! Kadar pengeluaran purata dari telaga-telaga minyak dan gas di Malaysia kini juga hanyalah pada kadar 33.0 peratus. Usaha-usaha meningkatkan kadar ini pula memerlukan penggunaan teknologi yang lebih mahal.

Dalam kata lain, teknologi yang lebih kompleks dan lebih mahal akan diperlukan untuk meningkatkan pengeluaran minyak dan gas daripada lapangan-lapangan kecil dan lapangan-lapangan di laut dalam. Oleh itu, Petronas akan memerlukan jauh lebih banyak wang.

Soalan 3 – Berapa banyakkah wang yang kita perlukan untuk meneruskan kemampanan perniagaan minyak dan gas?

Dianggarkan untuk tahun 2012, perbelanjaan untuk pembangunan industri minyak dan gas secara global akan mencatatkan jumlah perbelanjaan modal lebih daripada RM 3.0 trilion. Menurut Unit Penyampaian dan Prestasi Pengurusa (Pemandu), pertumbuhan masa depan minyak dan gas Malaysia hanya akan datang daripada inisiatif seperti kaedah “Enhanced Oil Recovery” (EOR), pendekatan inovatif pembangunan lapangan “marginal” dan juga menggiatkan aktiviti penerokaan oleh pengendali minyak dan gas di Malaysia serta penerokaan penemuan laut dalam. Inisiatif-inisiatif ini adalah cadangan-cadangan yang bernas. Sungguhpun begitu ia akan memakan belanja yang tinggi dan syarikat-syarikat pengendali minyak dan gas, seperti Petronas Carigali, akan memerlukan wang tunai yang lebih banyak untuk membiayainya.



Comments
Loading...