Puteri positif cadangan hudud
Ke
(Sinar Harian) – Puteri Umno memandang positif cadangan pelaksanaan hudud, namun menegaskan ia perlu dilakukan dengan teliti dan sempurna.
Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, beliau melihat desakan pembangkang dan sesetengah pemimpin Umno yang mahu melaksanakan hudud dengan matlamat memurnikan akidah umat Islam sebagai langkah yang baik.
“Kita harus bersedia ke arah kesempurnaan pelaksanaan hudud dan berusaha memberi kefahaman jelas terhadap masyarakat majmuk di negara ini kerana ia adalah hukuman yang memiliki banyak cabang.
“Bagaimanapun, teori dan pelaksanaannya perlu diperhalusi. Kita tidak mahu pelaksanaannya tidak sempurna kerana ini soal hukum ALLAH SWT,” katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian, semalam.
Rosnah diminta mengulas mengenai cadangan Wanita Umno Bahagian Kepala Batas yang bercadang membawa usul menyokong pelaksanaan hudud di negara ini ke persidangan Umno bahagian itu tidak lama lagi.
Menurutnya, pelaksanaan hukum hudud tidak perlu dipolitikkan dan dipermainkan demi kepentingan peribadi.
“Hukum hudud adalah sebahagian kanun jenayah Islam yang merupakan sebahagian dari syariat ALLAH. Oleh yang demikian hukum ini wajib dijunjung, diamalkan serta dipertahankan setiap Muslim dan Muslimat.
“Umat Islam wajib menyokong tanpa mengira parti dan menjauhi diri dari membuat ulasan negatif atau memukul gendang sumbang yang membayangkan pelbagai keraguan,” katanya.
Rosnah berkata, perkara utama yang perlu ditekankan ialah usaha membina semula keruntuhan akidah.