Scorpene: Pembohongan Suaram


 

Zulkifli Jalil, The Malaysian Insider 

Bagai nak rak dan “tercabut dunia” dibuat Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan pakatan pembangkang yang terus memainkan isu rasuah dan penyelewengan dalam pembelian kapal selam Scorpene.

Kalau dikira, dalam akhbar pakatan pembangkang khususnya “Suara Keadilan” PKR hampir setiap minggu keluarannya memainkan isu Scorpene. Seakan-akan semacam betul.

Dalam “permainan licik” mereka ini, Suaram dan pakatan pembangkang telah pergi “agak jauh” iaitu dengan menggunakan nama mahkamah di Perancis bagi menguatkan hujah mereka. Kononnya kes ini sedang disiasat dan “terdapat penemuan dokumen komunikasi dan transaksi yang menunjukkan wujudnya permintaan rasuah secara terang-terangan”.

Malah, lebih teruk lagi pembohongan Suaram ialah kononnya juga Perdana Menteri akan disapina dan diheret ke mahkamah Perancis. Mereka mengaitkan pula urus niaga dan rasuah tersebut dengan pembunuhan seorang model Mongolia.

Realitinya, memang benar ada aduan rasuah mengenai pembelian kapal selam Scorpene dari DCNS oleh Malaysia yang dibuat oleh Suaram kepada mahkamah Perancis. Tidak seperti di Malaysia, yang mana pihak polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bertanggungjawab menyiasat sesuatu aduan rasuah, lain pula di Perancis apabila pihak mahkamah yang menyiasatnya di bawah arahan hakim.

Selama siasatan dibuat iaitu dalam masa dua hingga tiga tahun, mengikut anggaran hakim Roger Le Loire dan Serge Tournaire yang bertanggungjawab bagi kes ini, pihak yang terlibat tidak dibenarkan membuat sebarang komen atau boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah. Sekiranya siasatan mendapati hakim memerlukan keterangan daripada mana-mana pihak di Malaysia, maka hanya polis Malaysia yang boleh mendapatkan keterangan daripada pihak yang berkenaan dengan kehadiran pegawai kehakiman dari Perancis.

Oleh itu, tidak timbul soal sapina ke atas Perdana Menteri atau sesiapa sahaja dari Malaysia untuk hadir di mahkamah Perancis. Sekiranya, hakim mendapati terdapat keperluan untuk membawa kes ke perbicaraan, maka beliau perlu mengemukakan permohonan kepada mahkamah yang lebih tinggi kerana hanya mahkamah tersebut yang dapat menentukan sama ada kes tersebut boleh dibicarakan atau tidak.

“Kerajaan Malaysia difahamkan tiada perbicaraan berlangsung di Perancis berhubung isu kapal selam Scorpene. Justeru, tidak timbul soal kerajaan akan memohon menjadi pemerhati,” jelas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada ucapan penangguhan menjawab soalan daripada seorang wakil pembangkang di Parlimen malam kelmarin.

Pertanyaan daripada Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) itu berbunyi: “Sama ada kerajaan Malaysia akan memohon untuk menjadi wakil pemerhati di Mahkamah ‘Tribunal de Grande Istance’ Perancis untuk mendapatkan akses kepada kertas pembuktian yang dirujuk oleh Suaram dalam ‘kes Scorpene’ tersebut.”

Mengimbas fakta mengenai pembelian Scorpene, kontrak perolehan dua buah kapal selam baru berkenaan telah ditandatangani pada 5 Jun 2002 oleh kerajaan Malaysia dengan syarikat DCNS (Perancis) dan NAVANTIA (Sepanyol) selaku pembekal kapal selam dan Perimekar Sdn. Bhd. sebagai Project Services Provider. Nilai kontrak ini ialah €1.084 bilion.

Skop kontrak terbahagi kepada dua bahagian iaitu:

a) Bahagian Pertama: Antara kerajaan Malaysia dengan DCNS dan NAVANTIA merangkumi perolehan dua buah kapal selam jenis Scorpene, pakej Integrated Logistic Support (ILS) dan latihan untuk warga kapal selam Scorpene. Nilai bahagian ini ialah €969.15 juta.

b) Bahagian kedua: Antara Kerajaan Malaysia dengan Perimekar Sdn Bhd merangkumi perkhidmatan koordinasi dan sokongan kepada Pasukan Projek dan pelatih-pelatih kapal selam di Perancis dan Sepanyol. Nilai bahagian ini ialah €114.96 juta.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menjelaskan, Kementerian Pertahanan tidak pernah membuat sebarang bayaran komisen sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada mana-mana syarikat dalam perolehan Kapal Selam Scorpene.

“Perolehan kapal selam tersebut telah dibuat secara runding terus selaras dengan tatacara perolehan kerajaan dengan syarikat pembuat iaitu Perancis dan Sepanyol yang telah mendapat persetujuan kerajaan masing-masing. Kenyataan Ahli Parlimen Lembah Pantai bahawa dua buah kapal selam Scorpene dibeli dari Syarikat Thales International adalah tidak benar.

“Kementerian Pertahanan tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai dakwaan penjualan dokumen yang dikatakan rahsia oleh Syarikat Terasasi (Hong Kong) kepada Syarikat Thint Asia (Thales International) yang didakwa bernilai €36 juta. Kementerian juga tidak mempunyai maklumat dakwaan bayaran berkala daripada Thint Asia kepada Syarikat Terasasi (Hong Kong),” kata Ahmad Zahid lagi.

Menjawab desakan pakatan pembangkang supaya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Diraja untuk menyiasat proses pembelian Scorpene jika terdapat unsur rasuah dan penjualan rahsia sulit negara, Ahmad Zahid menjelaskan:

“Kerajaan berpendapat tidak perlu menubuhkan Suruhanjaya Bebas untuk menyiasat pembelian kapal selam itu memandangkan pembelian kelengkapan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu dibuat mengikut Tatacara Pelaksanaan Kontrak-Kontrak Perolehan Peralatan Pertahanan Negara.

“Ia melibatkan pelbagai peringkat kelulusan termasuk Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Rundingan Harga setelah penilaian yang teliti dibuat demi memastikan perolehan tersebut menepati keperluan ATM. Selain itu, rujukan juga dibuat kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan kelulusan ke atas klausa-klausa kontrak tersebut.

“Semua terma dan kelulusan untuk rundingan terus dikemukakan kepada Kementerian Kewangan untuk kelulusan,” katanya. 

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...