Ops 2020 dan Setpol Najib
Ahmad Lutfi Othman, Harakah
Saya pernah membongkarnya tujuh tahun lalu semasa menjadi Ketua Pengarang akhbar Siasah. Ada komplot membabitkan Pemuda Umno (dan juga sayap Puterinya) bersama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar 17 IPTA, yang turut dihadiri para pelajar kumpulan Aspirasi pro-Umno.
Pertemuan diatur pegawai khas Kementerian Pengajian Tinggi, yang dipinjamkan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (juga seorang pengetua kolej kediaman), serta didalangi Dr Adham Baba, bekas Setiausaha Parlimen KPT. Menteri ketika itu Dr Shafie Salleh.
Tujuannya, untuk memenangi dengan mudah pilihan raya kampus (PRK) dengan mengetepikan cabaran kumpulan pelajar Islam yang dilihat bebas dan lebih dekat dengan pembangkang (kini dikenali Pro-M).
Mereka bertemu secara tetap, mulanya dalam kekerapan mingguan, di Tingkat 38, Menara Dato’ Onn, PWTC, yang menempatkan Ibu Pejabat Umno Malaysia. Bayangkan, Umno dan sekutunya dalam BN (melalui biro pendidikan masing-masing) berkomplot dengan HEP 17 IPTA seluruh negara, termasuk dari Sabah dan Sarawak, bagi memenangkan kumpulan Aspirasi dalam PRK.
Mesyuarat turut meminda dan memanipulasi peraturan PRK bagi menyukarkan percubaan seteru Aspirasi. Bayangkan, pihak berkepentingan, seperti calon yang bakal bertanding PRK, iaitu daripada kumpulan Aspirasi dapat mengatur strategi, sekali gus membentuk helah untuk mengalahkan saingannya, di Ibu Pejabat Umno, bersama sekumpulan Timbalan Naib Canselor dan pegawai HEP, yang sepatutnya bertindak bebas dan adil sebagai pengadil pertandingan.
Bukan itu saja, dalam satu pertemuan yang dipindahkan dari Ibu Pejabat Umno di PWTC (selepas didedahkan Siasah) ke Kolej Kediaman Pelajar Keris Mas, UKM, pada 13 September 2005, wang tunai RM10,000 diagih-agihkan kepada setiap wakil universiti untuk digunakan dalam kempen mahasiswa pro-Umno.
Selepas tujuh tahun, rupanya kisah tersebut belum berakhir. Situasi politik ketika itu memang menyebelahi Umno-BN, yang menang besar dalam pilihan raya 2004. Namun, ia tidak menghalang mereka “bermain kotor” bagi menghapus terus elemen propembangkang di kampus. Ironinya, yang tersisih akhirnya adalah Dr Shafie dan Dr Adham sendiri!
Kini, berdepan PRU13 yang mencemaskan, pimpinan Umno makin resah dan gelabah. Kampus juga tidak terlepas daripada tumpuan perancang politik di Pejabat Perdana Menteri. Kalau dulu, ia hanya berlegar di kalangan KPT tetapi sekarang membabitkan pegawai kanan Najib.
Melalui Ops 2020 (jangan silap faham maknanya; ia bermaksud mahu memastikan kumpulan Aspirasi berjaya memenangi semua PRK 20 IPTA), Shahlan Ismail dan Irmohizam Ibrahim, masing-masing Setiausaha Politik dan Pegawai Khas Perdana Menteri, bersama “strategis” lainnya, berpusat di bilik operasi, Rumah Meranti 1, Jalan Bellamy, Kuala Lumpur, mempunyai perancangan besar.
Nama-nama lain yang terbabit sama ialah Ketua Pengarah Biro Tata Negara, Raja Arif Raja Ali; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Razali Ibrahim; Setiausaha Politik Menteri Pengajian Tinggi, Khairi Abd Malik; SAC Mohd Sofian Md Makinuddin, Cawangan Khas PDRM bersama tiga pegawai polis Bukit Aman; Mohamed Maliki Mohamed Rapiee, Presiden Majlis Belia Malaysia; serta sekumpulan pegawai KPT, BTN dan pemimpin Pemuda-Puteri Umno.
Menerusi dokumen yang didedahkan, Ops 2020 “berperanan untuk memastikan pemilihan kampus kali ini (sesi 2012/13) tidak memberi sebarang KEBANGKITAN MORAL kepada parti pembangkang sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13”. (Anda sendiri boleh tafsirkan apa definisi terbaik kepada “kebangkitan moral kepada parti pembangkang”).
Justeru, PRK yang sepatutnya perlu dijalankan selepas minggu kedua Mac 2012 ditangguhkan ke tarikh yang belum dipastikan. (Ini bermakna, untuk kebanyakan kampus, sudah empat bulan Majlis Perwakilan Pelajar– MPP — tidak lagi berfungsi). Daleh penangguhan itu berbeda-beda di antara universiti. Apabila diajukan kepada KPT, jawapannya, tarikh PRK diserahkan kepada setiap kampus bagi menentukannya.
Sedangkan Sekretariat Kampus yang dipengerusikan Shahlan inilah yang akan menentukan tarikh paling sesuai PRK, seperti dinyatakan dalam objektif keempatnya, iaitu bagi “memastikan mahasiswa yang menyokong kerajaan memenangi semua pilihan raya kampus 20 IPTA di seluruh negara”.
Dalam mesyuarat penyelarasan pemilihan MPP IPTA, pada 25 Januari 2012, di Akademi Kenegaraan, Jalan Bellamy, dicadangkan tarikh PRK dilewatkan ke bulan April “bagi memastikan segala persiapan ke arah kemenangan dirancang dengan rapi”.
Setpol Menteri Pengajian Tinggi menekankan agar perlu diberikan tumpuan yang lebih kepada empat IPTA, yang dikatakan “sangat bermasalah”, iaitu Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Pertanian dan UKM.
Saya tidak berhasrat untuk memperincikan kandungan minit mesyuarat yang sudah terbongkar itu. Prinsipnya tetap sama, seperti tujuh tahun lalu. Pihak Umno, seperti juga parti-parti politik lain, boleh saja melakukan proses perkaderan di kalangan mahasiswa, hatta untuk memberi sumbangan dan sokongan kepada mana-mana calon yang bertanding dalam PRK.
Masalah besar timbul apabila Umno memperalatkan kemudahan awam dan jentera kerajaan, seperti Cawangan Khas Polis, BTN, KPT dan lebih dahsyat lagi apabila membabitkan Sekretariat Hal Ehwal Pelajar, termasuk Timbalan Naib Canselornya, di semua 20 IPTA.
Bukankah HEP itu sendiri berperanan sebagai Suruhanjaya Pilihan Raya dalam PRK, yang sepatutnya bertindak bebas dan berkecuali? Begitu juga dengan Kementerian Pengajian Tinggi yang merupakan bapa atau penaung kepada semua mahasiswa, termasuk kumpulan-kumpulan pelajar yang menyertai PRK.
Lebih mengaibkan apabila Najib sendiri merestui penangguhan PRK semata-mata kerana Sekretariat Kampus yang dipengerusikan Setpolnya masih belum dapat menemui satu tarikh paling sesuai, agar “pemilihan kampus tidak memberi sebarang KEBANGKITAN MORAL kepada parti pembangkang sebelum PRU13”.
Dengan itu, saya percaya PRK hanya akan diadakan selepas PRU13. Juak-juak Najib bimbang, jika diadakan sebelum pilihan raya umum, momentum PRK itu mungkin melonjakan sokongan kepada Pakatan Rakyat.
Soalnya, apakah jika tarikh PRU13 melewati hujung tahun ini, maka mahasiswa terus dinafikan hak untuk berpersatuan selama hampir setahun? Waduh! Mengapa sanggup memperjudikan kepentingan dan kebajikan pelajar dengan alasan tidak munasabah dan terlalu sarat dengan motif politik?
Sepanjang mengikuti perkembangan politik kampus sejak tahun 80-an, saya tidak pernah menjangka pemimpin Umno-BN akan bertindak sebebal ini. Jika anak-anak muda kita di kampus pun dipolitikkan semahunya, apakah anda masih mengharapkan PRU13 ini akan berjalan secara adil, bersih dan bebas?