Bapa dakwa anggota polis pukul anaknya


(UTUSAN) – Seorang bapa bercadang menyaman 20 anggota polis yang didakwa memukul anaknya yang merupakan seorang juruteknik selepas sambutan Thaipusam pada Selasa lalu. K. Shanmugam, 58, berkata, dia telah meminta bantuan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, S. Raveentharan dan ADUN Kebun Bunga, Jason Ong dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mengemukakan saman tersebut.

 

Menurut Raveentharan, beliau akan membantu mangsa, S. Morle, 30, untuk mengemukakan tuntutan tersebut terhadap anggota-anggota polis terbabit bagi menuntut keadilan dan pampasan yang sepatutnya.

“Tindakan polis terhadap Morle adalah tidak wajar. Mereka (anggota polis) berhak menyiasat atau menahan tetapi tidak berhak menggunakan kekerasan untuk memukul orang. Mereka yang terbabit sepatutnya disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,’’ katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini hari ini.

Selasa lalu, Morle telah membeli minuman keras dari sebuah kedai dan seorang lelaki didakwa menghampirinya dan merampas botol bir yang sedang diminumnya. Morle dikatakan bertindak balas dengan cuba menghalang lelaki itu daripada merampas minumannya, tanpa mengetahui bahawa lelaki tersebut adalah seorang anggota polis. Dia mendakwa, sekumpulan kira-kira 20 anggota polis kemudian muncul dan mengheretnya ke lorong belakang di Jalan Penang untuk memukul dan menendangnya.

Berikutan itu, Morle yang berasal dari Perak disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana didakwa menghalang anggota polis daripada melaksanakan tugasnya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut mengenai dakwaan itu selepas menerima laporan perubatan mangsa.

“Kes ini masih dalam siasatan dan laporan siasatan akan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan seterusnya,” katanya.



Comments
Loading...