Jika Mempunyai Peluang, Saya Juga Akan Menyertai DAP
DAP adalah parti politik yang sah di sisi Perlembagaan Malaysia. Tiada beza taraf DAP dan UMNO dari sudut perundangan. Cuma bezanya antara dua parti itu ialah DAP cuba mencerdikkan rakyat dan UMNO sudah sekian lama menipu rakyat.
By Ahmad Tajuddin
Kenyataan ini seolah-olah saya mahu menyertai politik selepas tamat pengajian. Tidak, bukan itu maksud saya. Tetapi sedikit komentar dari saya setelah memerhatikan beberapa siri kejadian yang tidak disangka-sangka oleh ramai rakyat Malaysia yang aktif memerhatikan gelombang politik tanah air muttakhir ini.
Melayu ditakut-takutkan sejak sekian lama dengan kenyataan yang tidak berasas. Seolah-olah negara ini tiada perlembagaan, dan orang-orang DAP tidak tahu menghormati perlembagaan!
Orang-orang kampung apabila mendengar perkataan DAP, seolah-olah kita menyebut segerombolan komunis memasuki kampung. Sampai begitu sekali ketakutan yang UMNO/BN berjaya tanamkan dalam diri hampir keseluruhan masyarakat melayu terutamanya mereka yang lahir pada era 80-an dan ke bawah.
Malah, tidak terkecuali sebahagian besar mereka dalam kalangan generasi saya pun!
Menakutkan Melayu Demi Survival Politik
Rasanya mungkin ini hujah paling tepat kenapa sindrom takut ini ditanam dalam diri setiap warga Malaysia. Mudahnya, mereka yang sedang berkuasa ingin terus mengekalkan survival kuasa itu dalam genggaman tangan mereka.
Cara paling mudah ialah dengan memberi gambaran seburuk mungkin kepada rakyat terhadap pihak lawan mereka. Sentimen perkauman adalah bahan bakar yang paling mudah disambar api.
Pantang disentuh, pasti marak apinya tanpa mampu disekat.
Perkara biasa yang kini hampir basi ialah kedudukan Raja, Islam dan ketuanan melayu. Inilah melodi yang dimainkan oleh parti pemerintah sekarang untuk menakut-nakutkan orang melayu.
Mereka berbuat demikian dalam keadaan mereka menyekat pelbagai sumber lain untuk rakyat menilai dan berfikir. Minda rakyat terutamanya melayu dikongkong dengan sentimen basi ini. Pantang dikritik, pasti melenting dengan isu basi ketiga-tiga di atas.
Setiap kali pilihan raya, inilah antara melodi yang paling hangat. Rakyat bukan bodoh, tetapi mereka tidak mendapat maklumat yang meluas. Mereka dipaksa untuk menerima penipuan tersebut hidup-hidup.
Mereka yang tidak pernah di ajar untuk berfikir, akan cuma pandai bertempik dengan semangat kemelayuannya yang akhirnya pak menteri bina rumah banglo bertingkat-tingkat, rakyat yang diperbodohkan miskin merempat.
Setiap tahun mereka perbaharui penipuan ini di PWTC dengan laungan penuh semangat, Hidup Melayu!
Seperti saya tulis di atas, hal ini semua dilakukan demi survival kuasa memerintah mereka.
Dato’ Onn Pencetus Idea Politik Matang
Saya masih ingat tentang sebuah artikel yang pernah disiarkan dalam akhbar Harakah, mengulas panjang tentang fenomena di Malaysia semasa dan selepas PRU-12. Kebanyakan orang tidak pernah terfikir bahawa suatu hari nanti orang melayu Islam mengundi calon Cina sebagai wakil rakyat mereka, dan juga masyarakat Cina yang sanggup menerima calon PAS sebagai wakil mereka.
Ini luar dari jangkaan ramai. Ketika Dato’ Onn menyuarakan cadangan agar keahlian UMNO dibuka kepada bukan Melayu, beliau telah ditentang oleh ahli-ahli UMNO sendiri sehingga Dato’ Onn membuat keputusan keluar dari parti tersebut dan menubuhkan Parti Malaya Merdeka (Independence of Malaya Party).
Menjadi persoalan di sini, kenapa Dato’ Onn mampu melontarkan cadangan yang begitu luar dari kerangka masyarakat ketika itu berfikir sehinggakan ramai menganggap beliau sudah tidak relevan?
Hakikatnya, beliau sendiri telah nampak perubahan politik yang bakal berlaku pada tahun 2008 ketika itu.
Namun, pemimpin UMNO ketika itu membutakan mata mereka daripada memandang hal yang sama. Mereka lebih senang menggunakan helah dan penipuan seperti yang saya nyatakan di atas demi mengekalkan kuasa yang ada di tangan mereka.
Saya merasa amat yakin, jikalau cadangan Dato’ Onn diterima ketika itu sudah tentu permasalahan sindrom politik takut yang melanda masyarakat Malaysia dapat ditamatkan.
Saya menghormati Dato’ Onn kerana keberaniannya melawan arus masyarakat ketika itu, demi tujuan melahirkan sebuah masyarakat Malaysia yang matang dan benar-benar harmoni.
Beliau cuba mendidik masyarakat melayu ketika itu, menyedarkan mereka dari tidur bahawa Malaysia ini bukan milik orang melayu sahaja tetapi mereka berkongsi tanah yang sama dengan rakan cina dan india. Beliau telah mencetuskan satu arus pencerahan yang amat sukar diterima pada waktu tersebut.