Hasan Ali orang suruhan Umno


Apa yang keluar dari mulutnya bukan sahaja fitnah yang bahaya tetapi juga berunsur hasutan bertujuan untuk mengapi- apikan sentimen perkauman.

(Free Malaysia Today) – Setiausaha Politik Lim Guan Eng, Zairil Khir Johari berkata dakwaan yang dilemparkan bekas exco agama Selangor Datuk Dr Hasan Ali ke atas Pakatan Rakyat khususnya DAP dalam ceramahnya mencerminkan perilaku beliau sebagai orang suruhan Umno.

Katanya, dakwaan Hasan Ali bahawa sekiranya Pakatan mengambil alih Putrajaya, DAP akan menggabungkan Malaysia dengan Singapura untuk menubuhkan negara republik.

“Malahan beliau juga mendakwa DAP akan memansuhkan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan dan menghapuskan elemen-elemen Islam di negara ini,” kata Zairil.

“Hasan Ali mendakwa beliau memperjuangkan Islam, tetapi apa yang keluar dari mulutnya bukan sahaja fitnah yang bahaya tetapi juga berunsur hasutan bertujuan untuk mengapi-apikan sentimen perkauman.

“Dengan fitnah dan tuduhan yang melampau ini, peranan Hasan Ali sebagai musuh dalam selimut sudah tidak diragui. Sesungguhnya seseorang yang begitu cepat berpaling tadah dan menyongsangkan pendiriannya tidak layak dipercayai.

“Namun begitu, saya percaya taktik fitnah taraf Umno ini tidak akan dipercayai umum. DAP adalah sebuah parti yang menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan tidak akan mencabar terasnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zairil menegaskan pendirian DAP ialah mahu mempertahankan sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

“Ini seperti yang terkandung dalam Deklarasi Shah Alam pada bulan lalu yang diluluskan sebulat suara ketika Persidangan Kebangsaan DAP 2012,” jelas beliau.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...