Dilema PAS hadapi Hasan Ali


(Siasah Daily) – Bekas pemimpin PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali telah membalas kembali dakwaan-dakwaan yang dilemparkan kepadanya oleh Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali.

Hasan bukan sahaja menafikan tuduhan menemui pemimpin Umno malah menuduh Mustafa yang sebenarnya melakukan pertemuan seperti itu.

Isu pertemuan dengan pemimpin Umno -malah dengan mufti yang dilihat pro-Umno – menjadi isu sensitif dalam PAS sejak pilihan raya 2008.

Pertemuan seperti itu dilabel sebagai usaha berbaik atau bersatu dengan parti pesaing utama PAS itu, yang bersaing merebut undi Melayu Muslim.

Kekecohan di media berhubung Hasan tercetus ekoran kenyataan Saari Sungib, bekas ahli PKR yang kini memegang jawatan ketua penerangan PAS Selangor yang memberi gambaran Hasan tidak akan dicalonkan pada Pilihan Raya Umum ke-13 kerana ditolak ahli akar umbi.

Saari walau bagaimanapun tidak mendapat perhatian selepas tercetus kekecohan, apabila tumpuan ditujukan pada Hasan dan Nasharudin Mat Isa, bekas timbalan presiden.

Kedua-dua Hasan dan Nasharudin dituduh mahu menyertai Umno ekoran perselisihan pendapat dengan pandangan popular dalam parti. Kedua-duanya juga tidak popular dengan media parti.

Hasan walau bagaimanapun mempunyai kelebihan tersendiri, terutama di Selangor ekoran populariti beliau dalam kalangan masyarakat Melayu tanpa mengira kesetiaan parti.

Walaupun telah diturunkan dari kedudukan pesuruhjaya negeri, Hasan masih mempunyai pengaruh di dalam dan luar parti, dan terus membinanya hasil daripada kontroversi yang dilaluinya selama ini.

Tindakannya memohon maaf kerana menyerang gagasan negara berkebajikan yang dipersetujui parti mampu memperbaiki sikap ramai terhadapnya, dan memperlihatkan beliau sebagai ikhlas.

Kecamannya terhadap ide negara berkebajikan menyebabkan pihak yang sebelum itu menyokongnya terutama kepimpinan pemuda, berundur dan menegaskan sokongan terhadap program parti itu.

Kontroversi melibatkan Hasan, pertama kali dalam kes gereja di Damansara Utama, Selangor, telah memberi kesan kepada PAS disebabkan cara isu itu ditangani yang kelihatan berdasarkan perkiraan politik semasa menjaga undi bukan Muslim.

Tekanan terhadap Hasan memudahkan permainan musuh parti yang mengaitkan layanan terhadap exco negeri Selangor itu sebagai akibat sikap yang membela kepentingan umat Muslim, antaranya isu kawalan penjualan arak.

Pendirian Hasan dalam hal berkaitan ditentang hebat oleh DAP dan pemimpin PAS lain yang dilihat terlalu menjaga hati kaum bukan Muslim.

Layanan terhadap Hasan – dan juga Nasharudin – dikemukakan oleh Umno terutamanya sebagai bukti sikap yang tidak selari dengan DAP dan tuntutan bukan Muslim akan mendatangkan akibat buruk, yang dikenakan oleh parti Islam itu sendiri.

Episod ini memberi kesan kepada undi Melayu, terutama di negeri Selangor, selain mendedahkan lagi kecelaruan dalaman PAS dalam menghadapi politik pasca-Pilihan Raya Umum ke-12 bersama gabungan pembangkang PR.

 



Comments
Loading...