Tindakan Hasan Ali musnah diri
Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Othman mengingatkan Hasan yang merupakan idola beliau untuk terus muhasabah diri.
(Free Malaysia Today) – PAS Selangor menyifatkan tindakan Exco Hal Ehwal Islam negeri itu, Datuk Dr Hasan Ali hanya menghancurkan diri sendiri apabila terus menyuarakan kekecewaan peribadinya ke atas parti kepada umum.
Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Othman mengingatkan Hasan yang merupakan idola beliau untuk terus muhasabah diri.
Katanya, Hasan perlu menunjukkan sikap lebih terbuka ekoran tidak menerima pencalonan yang mencukupi daripada cawangan untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Gombak Setia.
Menurut Abdul Rani, beliau ada menghubungi Hasan namun sehingga hari ini tiada sebarang maklum balas daripada pemimpin PAS tersebut.
“Sepatutnya kita tanya diri sendiri apa silap kita. Saya yang baru jadi Adun di Meru, ada orang Umno tegur dan beritahu silap saya. Hasan lebih tahu Gombak Setia, beliau patut tanya apa salah diri sendiri.
“Saya ada mesej untuk tawarkan beliau jawatan sebagai ahli perhubungan PAS Negeri. Tapi bagi SMS, hubungi beliau pun tiada jawapan.
Saya minta untuk jumpa namun dapat tahu beliau akan buat sidang media.
“Saya ingatkan Hasan Ali agar dapat muhasabah diri. Apa yang beliau lakukan hanya merosakan diri sendiri. Sedangkan parti (PAS) ada kekuatan sendiri. Apa yang beliau lakukan hanya memberi kesan minimal pada parti,” katanya dalam sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Shah Alam hari ini.